Bertunanglah Biasa-Biasa, Supaya Tak Timbul Fitnah Bila Terjadi Apa-Apa!

7095

Pertunangan adalah janji bagi kedua-dua belah pihak iaitu pihak lelaki dan perempuan untuk mengikat tali perkahwinan. Biasanya perkara ini melibatkan waktu-waktu tertentu yang telah ditetapkan oleh kedua-dua belah pihak.

Soalan yang biasanya timbul di dalam pertunangan ialah adakah dibenarkan syarak untuk menghebahkan pertunangan tersebut sepertimana majlis perkahwinan atau tidak?

Sebahagian ulamak berpendapat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah perkara yang digalakkan. Ini kerana terdapat hadis daripada Ummu Salamah R.A. yang mana Rasullullah S.A.W. telah bersabda:

أظهروا النكاح، وأخفوا الخطبة

Maksudnya:Zahirkan (iklankan) pernikahan dan sembunyikan pertunangan.

Riwayat Al-Imam Al-Dailami di dalam Musnad Al-Firdaus (1/1/27)

Disebabkan itu sebahagian Al-Malikiyyah (pendapat yang berpandukan mazhab Imam Malik bin Anas bin Abi Amir Al-Ashbahi 93 – 179H) berpendapat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah digalakkan. Perkara ini juga seperti mana yang terdapat di dalam kitab Syarh Mukhtasar Al-Khalil yang mana Al-Kharasyi Rahimahullah (wafat 1101H) menyebutkan:

وَأَمَّا الْخِطْبَةُ بِالْكَسْرِ فَيُنْدَبُ إخْفَاؤُهَا كَالْخِتَانِ وَإِنَّمَا نُدِبَ الْإِخْفَاءُ خَوْفًا مِنْ الْحَسَدَةِ فَيَسْعَوْنَ بِالْإِفْسَادِ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَهْلِ الْمَخْطُوبَةِ

Maksudnya: Adapun Al-Khitbah (pertunangan), maka digalakkan untuk menyembunyikannya seperti Al-Khitan. Digalakkan untuk menyembunyikannya kerana takut akan hasad yang mana boleh membantu merosakkan di antara orang yang bertunang dan pasangan yang ditunangnya.

Selain itu ada juga pendapat lain yang menyatakan tiada masalah untuk menghebahkan pertunangan seseorang itu kerana tiada nas yang sahih di dalam larangan berbuat demikian. Hadis Ummu Salamah R.A. yang disebutkan sebelum ini, dinilai dhaif (lemah) oleh sebahagian muhaddis (orang yang pakar dalam ilmu hadis).

Kesimpulannya tiada masalah untuk menghebohkan pertunangan. Namun janganlah berlebih-lebihan dalam menghebahkan serta menyambutnya kerana pertunangan hanyalah janji kepada perkahwinan dan boleh sahaja pertunangan tersebut dibatalkan. Oleh yang demikian itu, bersederhanalah dalam pertunangan kerana perkara ini lebih dituntut. Namun begitu dibolehkan juga merahsiakan pertunangan untuk mengelakkan hasad dengki dan sebagainya selagi mana tidak timbul fitnah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here