TERKINI: KKM Sahkan Dua Lagi Kluster Baharu Hari Ini Termasuk Kluster Bah Puchong

2634

Setakat hari ini terdapat pertambahan dua kluster baharu yang melibatkan negeri Selangor dan Pulau Pinang.Bagaimanapun, kedua-dua kluster ini masih dalam siasatan.

Perincian tentang Kluster Bah Puchong, Selangor dan Kluster Penjara Reman adalah seperti berikut:

1. KLUSTER BAH PUCHONG

Kluster baharu ini telah dikenal pasti di Selangor iaitu di daerah Petaling dan di Perak iaitu di daerah Larut, Matang dan Selama serta daerah Kinta. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-13061, kes ke-13065 dan kes ke-13069) dikenal pasti positif COVID-19 pada 5 Oktober 2020 hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah). Ketiga-tiga mereka telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan dua (2) lagi kes positif COVID-19 di Perak iaitu di daerah Larut, Matang dan Selama serta daerah Kinta dikenal pasti. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

Sehingga 7 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 39 individu telah disaring. Keputusan saringan adalah seperti berikut:

Selangor (12 individu disaring):
Tiga (3) kes dikesan positif COVID-19; dan
Sembilan (9) individu masih menunggu keputusan.
Perak (27 individu disaring):
Dua (2) kes dikesan positif COVID-19; dan
25 individu masih menunggu keputusan.
Punca jangkitan masih dalam siasatan.

2. KLUSTER PENJARA REMAN

Kluster baharu ini telah dikenal pasti di daerah Timur Laut, Pulau Pinang. Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-13499) adalah merupakan kes kematian ke-141. Beliau merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun yang telah dijumpai tidak sedarkan diri pada awal pagi 5 Oktober 2020 di dalam penjara dan disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang. Saringan COVID-19 yang dijalankan pada hari yang sama dikesan positif.

Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan enam (6) lagi kes positif COVID-19 dikenal pasti pada 6 Oktober 2020. Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.

Sehingga 7 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 286 individu telah disaring. Keputusan saringan adalah seperti berikut:

Tujuh (7) kes dikesan positif COVID-19;
78 individu negatif; dan
201 individu masih menunggu keputusan.
Punca jangkitan masih dalam siasatan.

Sumber: KKM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here