Saya masih ingat keadaan Surya berlumuran darah’ – Bapa

952

Keluarga Siti Nur Surya masih lagi trauma dan tidak mampu menjejakkan kaki ke kediaman mereka di Kampung Lubuk Batu, Telemong yang menjadi lokasi pembunuhan tragis gadis itu, Ahad lalu.

Bapa arwah Ismail Muda, 58, berkata, selepas kejadian ngeri yang menimpa anak kelima daripada tujuh beradik itu, mereka sekeluarga belum mendapat kekuatan untuk pulang ke kediaman mereka dan kini tinggal buat sementara waktu di rumah datuk arwah di Kampung Beladau Selat, Kepong di sini.

“Masih terbayang di ingatan saya keadaan kakak (Siti Nur Surya) yang berlumuran darah ketika ditemui di ruang tamu rumah. Itulah yang menyebabkan saya sendiri belum mampu balik ke rumah di Telemong selepas kejadian itu.

“Hanya anak-anak lelaki sahaja yang berulang-alik melihat rumah dan mengambil barang keperluan seperti pakaian, namun tiada siapa yang sanggup bermalam di sana buat masa ini.

“Sebelum ini, kalau saya pergi ke mana-mana arwah kakak yang akan jaga, tapi bila dia tiada saya terpaksa menguruskan sendiri isteri dengan bantuan anak-anak yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Terdahulu, Ismail menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Dr Mamad Puteh.

Dalam kejadian Ahad lalu, mayat Siti Nur Surya, 19, ditemukan dengan kesan tetakan pada badan serta putus tangan kiri di ruang tamu rumah oleh adik perempuannya, Nor Liyana Syuhada, 15, semasa pulang dari sekolah kira-kira 2.30 petang.

Sementara itu, Hanafiah berkata, pihaknya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menyediakan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa dan suspek yang masih trauma dengan kejadian itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here