Jangan Risau Jika Belum Bertemu Jodoh, Percayalah Ada Hikmah Yang Tersirat Di Sebaliknya!

2106

Selalu kita rasa setiap manusia yang telah bertemu jodoh adalah manusia yang paling bahagia dan bernasib baik. Namun kita mungkin tidak pernah sedar tentang mereka yang masih belum menemui jodoh mereka. Adakah mereka diketegorikan tidak bernasib baik?

Banyak hikmah sebenarnya yang kita tidak nampak buat mereka yang belum bertemu jodoh mahupun berumah tangga. Perkongsian iiumc.com ini nyata membuka mata kita bahawa mereka yang belum diizinkan untuk berumah tangga juga ada hikmah yang tersirat di sebaliknya.

1.PELUANG BERBAKTI KEPADA ORANG TUA

Tidak kira samada lelaki mahupun perempuan, selagimana kita bergelar ‘anak’, sudah pastinya tanggungjawab kita terhadap orang tua kita adalah perlu. Adakalanya bila sudah berumahtangga, banyak urusan perlu diutamakan sehinggakan ada yang terabai tanggungjawabnya kepada ibu bapa. Jadi sekiranya kita belum dikurniakan jodoh untuk bernikah, mungkin ini adalah satu peluang untuk kita berbakti kepada kedua ibu bapa sementara masih sempat sementara mereka masih ada.

2.BOLEH SAMBUNG BELAJAR

Ya, sambung belajar. Ada segelintir yang menangguhkan urusan pernikahan semata-mata untuk fokus kepada pengajian. Manakala ada pula yang memilih untuk sambung belajar sementara belum sampai jodoh. Tapi tak kurang juga yang menangguhkan pengajian disebabkan perlu bernikah dulu. Kisah setiap orang berbeza kan. Tak ramai yang dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi sebaik sahaja mendirikan rumah tangga disebabkan faktor -faktor tertentu. Jadi, sementara belum sampai masa untuk bernikah, apa kata kalau gunakan kesempatan tersebut untuk teruskan belajar (terutamanya Pendidikan secara formal, kerana Pendidikan tidak formal berlaku sepanjang masa tanpa mengira tempat). Maklumlah zaman sekarang ni sangat mencabar dan memerlukan manusia yang berpendidikan tinggi kan.

3.DAPAT TIMBA PENGALAMAN

Bukan bermakna orang yang sudah berkahwin tidak dapat menimba pengalaman. Bukan macam tu maksud saya. Tapi bagi yang belum bernikah, ada sesuatu hal yang anda boleh lakukan tetapi orang yang sudah berkahwin terhad untuk melakukannya. Dalam bidang kerjaya contohnya, ada tugasan tertentu yang lebih sesuai diberikan kepada golongan bujang kerana masanya yang fleksibel dan komitmennya yang kurang. Daripada situ, bolehlah menimba pengalaman baru dan ilmu baru. Dan lagi bagus kalau dapat berkongsinya dengan yang lain juga untuk sama-sama memperoleh manfaatnya. Tapi hati-hati. Tak semua orang suka dengan pencapaian kita dan keseronokan kita.

4.BINA KERJAYA

Kenapa saya kata orang yang belum bernikah dapat bina kerjaya? Orang yang dah bernikah tak boleh bina kerjaya ke? Panas je kan bila orang bernikah baca ni. Rasa geram je. Kalau ada la. Baiklah, situasinya begini. Bagi yang masih berstatus bujang, anda mungkin lebih muda, lebih bertenaga dan lebih bersemangat. Anda juga kurang komitmen lain, jadi anda dapat memberi tumpuan spenuhnya terhadap urusan kerja. Anda juga berpotensi untuk menjadi pekerja cemerlang dan seterusnya diberi kenaikan pangkat dan gaji. Anda juga tidak terikat untuk melakukan kerja lebih masa, sekiranya anda mempunyai kelapangan masa. Sementara masih bujang dan berupaya mencapai segala yang berkaitan, usahakannya. Hal ini kerana kita tidak tahu apa yang menanti kita di hadapan kelak. Boleh jadi setelah berkahwin nanti, suami tidak mengizinkan untuk bekerja dan perlu menjadi surirumah sepenuh masa. Boleh jadi setelah berkahwin dan mempunyai anak nanti, perlu memberikan perhatian yang lebih kepada keluarga dan anak-anak. Manakala bagi lelaki pula, banyak kewangan perlu digunakan untuk urusan nikah kahwin dan menyara keluarga. Makanya sementara masih berstatus bujang dan mampu bekerja, maka usaha untuk stabilkan ekonomi dulu.

5.TOLONG SARA KELUARGA & BIAYA ADIK BERADIK

Bagi yang dah bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri tetapi belum ada pasangan dan anak-anak untuk ditanggung, ini sebenarnya ruang untuk anda membantu keluarga asas dan adik-beradik anda yang lain. Sekiranya masih ada adik-beradik yang masih belajar, cuba bantu mereka untuk mencukupkan keperluan mereka walaupun mereka tidak meminta. Mungkin setahun sekali atau dua kali, anda boleh tolong sponsor ibu bapa dan adik beradik-beradik lain yang belum bekerja untuk majlis hari raya. Sekurang-kurangnya ibu bapa anda dapat jimat duit mereka kan. Tak dilupa juga setiap bulan hulur duit sikit untuk ibu ayah, walaupun mereka tak pernah meminta. Itu tanggungjawab kita sebagai anak. Tak banyak takpe, asalkan hulur sebagai tanda ingatan, penghargaan dan syukur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here