(Video) “Rasa Sakit Dari Telinga Sampai Otak,” Detik Mengerikan Lipas Harlequin Dikeluarkan Dari Telinga Selepas 12 Jam

1079

Seekor lipas yang masuk ke dalam telinga seorang lelaki berjaya dikeluarkan selepas ianya berada dalam telinga lelaki tersebut selama 12 jam, lapor Daily Mail.

Lelaki yang berusia 39 tahun itu dikatakan sedang tidur selepas baru pulang dari tempat kerja sebelum terbangun kesakitan di Santo Tomas, Filipina.

Satu rakaman video memaparkan detik mengerikan sepupu kepada lelaki tersebut menggunakan penyepit untuk mengeluarkan serangga itu daripada telinganya.

Semasa percubaannya mengeluarkan lipas tersebut, dia berjaya mengeluarkan kaki lipas yang telah mati itu terlebih dahulu.

Kemudiannya barulah dia berjaya mengeluarkan sisa lebihan lipas yang dipercayai sebagai lipas Harlequin yang panjangnya lebih dari satu inci daripada telinganya.

Ketika kejadian, lelaki tersebut merasakan seakan ada sesuatu sedang mengorek telinganya dan mula menjerit kesakitan sambil menyangka bahawa ianya adalah seekor ‘semut besar’.

Susulan daripada itu, isterinya segera menghubungi sepupu mereka untuk meminta bantuan.

Dengan menggunakan penyepit, sepupu kepada lelaki tersebut terus memeriksa telinga lelaki berkenaan bagi mencari serangga itu dan terkejut apabila mendapati bahawa terdapat kaki lipas di dalamnya.

Dia berkata: “Lipas itu menggerakkan kakinya, saya fikir kami hanya mengeluarkan seekor semut. Saya tidak percaya bahawa ianya boleh masuk ke dalam sana.”

Mereka kemudiannya menuangkan minyak bayi di dalam saluran telinga lelaki tersebut dengan harapan bahawa serangga itu akan keluar namun sebaliknya ia telah bertindak masuk dengan lebih dalam lagi.

Selepas dua jam proses mengeluarkannya itu berlangsung, lelaki tersebut memutuskan untuk sambung tidur dengan lepas itu masih lagi di dalam telinganya.

Dia difahamkan enggan pergi ke hospital untuk mendapatkan bantuan kerana takut dijangkiti virus Covid-19, serta tiada pengangkutan awam yang beroperasi pada waktu malam.

Pada keesokan harinya, lelaki itu bahkan pergi bekerja dengan serangga tersebut masih lagi berada di dalam telinganya. Namun pada waktu petang, dia mengerang kesakitan.

Dia berkata: “Saya dapat merasakan sakit dari telinga saya sehingga ke otak saya. Saya merasa seperti ianya sedang menggigit dari dalam.”

Setelah lipas itu terperangkap di dalam telinganya selama lebih dari 12 jam, ianya dikatakan memusingkan badannya untuk masuk lebih ke dalam bagi mencari jalan keluar.

Sepupunya cuba untuk mengeluarkan serangga itu dalam satu video yang diambil pada 12 September lalu.

Pada mulanya, mereka berjaya mengeluarkan bahagian kaki lipas tersebut dan kemudiannya barulah keseluruhan tubuhnya.

Terdapat darah dan luka kecil ketika serangga itu dikeluarkan namun doktor menyatakan bahawa tiada apa-apa yang serius mengenai darah serta luka tersebut.

Doktor Dorris Velasco berkata: “Dia sangat bernasib baik. Gegendang telinganya kelihatan normal dan tidak menemui sebarang kesan lecet. Ianya masih utuh serta tiada kerosakan yang ditinggalkan oleh serangga itu.

Selepas pulang daripada pemeriksaan doktor itu, dia menyatakan bahawa dia akan sentiasa membersihkan rumahnya untuk mengusir serangga perosak itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here