Remaja 14 Tahun Gigih Jual Burger Jadi Mangsa Kecurian, Ketua Polis Petaling Jaya ‘Turun Padang’ Hadiahkan Telefon Bimbit Baharu!

1647

Sesuatu yang menjentik hati kita semua apabila remaja belasan tahun yang mungkin bukan daripada keluarga berada sudah merasai penat lelah mencari rezeki.

Begitulah yang dirasai oleh remaja berusia 14 tahun ini, adik Muhammad Faisal Nor Faizal Nordin yang mengambil inisiatif berniaga burger di tepi jalan di Petaling Jaya untuk mencari duit poket sendiri.

Namun malang tidak berbau, segalanya bermula dalam satu kejadian sekitar pukul satu pagi baru-baru ini apabila adik Faisal meninggalkan gerainya sebentar untuk ke tandas.

Sekembalinya ke gerai, didapati telefon bimbit, sejumlah wang tunai dipercayai hasil jualan serta barang-barang niaga didakwa telah dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Bagi adik ini, apalah lagi yang mahu diharapkannya untuk dijadikan sumber pendapatan, melainkan wang hasil jualan burgernya itu.

Bagaimanapun kes kecurian ini sampai ke pengetahuan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook Polis Daerah Petaling Jaya malam tadi, difahamkan Nik Ezanee bersama pasukannya telah bertandang ke gerai burger adik Faisal semalam.

Atas dasar kemanusiaan dan ihsan, pihaknya bersetuju memberi sumbangan berupa sebuah telefon bimbit baharu buat anak muda ini.

Difahamkan, pemberian ‘hadiah’ itu adalah sebagai suntikan semangat buatnya agar cekal dan tabah mendepani cabaran hidup.

Kisah adik Faisal dan Nik Ezanee ini mendapat pujian dan penghargaan daripada segenap warganet, rata-rata mereka memuji kecekalan adik Faisal mencari rezeki pada usia muda serta keprihatinan Nik Ezanee selaku anggota polis.

Situasi ini mengajar kita semua bahawa slogan ‘Polis dan masyarakat berpisah tiada’ itu bukanlah sekadar kata-kata, tapi ia realiti yang perlu dikota.

Pada akhir hantaran itu berbunyi

“Hanya perlu sedikit untuk melakukannya, namun hanya sedikit orang yang menggunakan kemampuannya mengubah dunia ini. Hanya satu perbuatan baik sehari,”

Semoga berjaya dalam hidup buat adik Faisal dan setinggi-tinggi terima kasih diucapkan buat Nik Ezanee dan pihak IPD Petaling Jaya atas sumbangan ini.

Sumber: Polis Daerah Petaling Jaya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here