Ziela Jalil akui hidup bermadu, pilih ‘Datuk’ sebagai suami hampir 2 tahun lalu!

1570

Kelmarin, kecoh di laman sosial berkenaan status perkahwinan Datuk Ziela Jalil yang didakwa telah menjadi isteri kedua kepada seorang lelaki berpangkat Datuk.

Bagaimanapun, pelakon dan penerbit itu sendiri tampil memberi penjelasan menyatakan bahawa dia tidak berniat merahsiakan perkahwinan dan statusnya sebagai isteri kedua.

Sebaliknya, beliau berbuat demikian kerana demi menjaga hati ramai pihak serta menanti masa yang sesuai untuk berkongsi berita itu kepada umum.

“Sejujurnya, saya terkejut dan sedikit ralat apabila gadis berkenaan terlebih dahulu mendedahkan perkara ini kepada umum menerusi Twitter.

“Pun begitu, saya bersikap positif dengan melihat tindakannya sebagai satu isyarat menandakan masa untuk saya berkongsi berita ini kepada umum sudah tiba,” katanya kepada BH Online.

Pemilik syarikat produksi Pena Creative Pictures Sdn Bhd itu turut mengulas pendedahan yang dibuat oleh seorang gadis yang mendakwa Ziela adalah isteri kedua bapanya di Twitter sebelum ini.

 

“Suami, Datuk Syed Osman Al Habshee adalah Pengerusi Masjid Ibnu Mas’ud. Kami bernikah pada 17 Februari 2019 selepas lima minggu berkenalan.

“Pada awalnya, saya cuba merahsiakan perkahwinan daripada keluarga termasuk anak-anak kerana tidak mahu melukakan hati mereka. Saya tak mahu mereka merasa seolah-olah saya sudah melupakan bapa mereka,” ujarnya.

Bagaimanapun, penerbit berusia 50 tahun itu menegaskan bahawa tiada siapa mampu menggantikan tempat arwah bapa kepada anak-anaknya berikutan dua lelaki yang berbeza.

Ziela atau nama sebenarnya, Norzila Abdul Jalil mengakui sifat terbuka Osman sanggup menerima dirinya yang masih belum mampu melupakan Allahyarham suami adalah penyebab pintu hatinya terbuka semula.

Beliau juga nafi berkahwin kerana harta kerana suaminya itu hanya individu biasa selain tertarik dengan personaliti lelaki berkenaan.

“Bayangkan, selama sebelas tahun saya hidup bersendirian ditemani kenangan bersama arwah suami, sudah tentu agak sukar untuk saya memutuskan untuk berkahwin semula apatah lagi untuk menjalani kehidupan bermadu seperti sebelum ini,” kongsinya.

Terdahulu, beliau berkahwin dengan Tan Sri Megat Junid namun suaminya meninggal dunia akibat kanser prostat pada 2008.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan Dr Puteri Julia Nabilah Megat Junid.

Sumber: BH Online (Farihad Shalla Mahmud)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here