“Lesen Terus Diberi Percuma”, Penjaja Di Wilayah Persekutuan Boleh Terus Berniaga Sepanjang Tempoh Darurat, Cuma Diminta Patuhi SOP!

401

Semua penjaja di Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan boleh menarik nafas lega apabila mereka tetap boleh terus berniaga walaupun perintah darurat sudah diisytiharkan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata demikian menerusi satu ciapan di Twitternya pagi ini.

“Dalam tempoh darurat, penjaja di wilayah persekutuan boleh terus menjalankan perniagaan dan lesen terus diberi percuma.

“Cuma saya minta patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkuasa.

“Kita bantu-membantu dan bersama perangi COVID-19,” katanya dalam ciapan tersebut hari ini.

Semalam, negara mencatatkan sejarah baharu apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah memperkenan pelaksanaan Perintah Proklamasi Darurat sebagai usaha membendung jangkitan COVID-19.

Pengisytiharan darurat tersebut akan berlangsung bermula semalam sehingga 1 Ogos ini atau lebih awal, bergantung kepada angka kes harian COVID-19 yang dilaporkan setiap hari.

Dalam masa sama, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua juga telah mula berkuatkuasa bermula tengah malam tadi selama 14 hari sehingga 26 Januari ini, melibatkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, WP Kuala Lumpur, Melaka, Johor dan Sabah.

Manakala PKP Bersyarat juga turut dikuatkuasakan di enam negeri selainnya melibatkan Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Ekoran jumlah kadar jangkitan COVID-19 terendah setakat ini, hanya Perlis dan Sarawak sahaja yang dilaksanakan PKP Pemulihan buat masa ini.

Sumber: Twitter Tan Sri Annuar Musa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here