Mufti Perjelaskan Isu Andika Putera, Curang Dengan Izin Allah!

3826

Kes curang merupakan sesuatu yang tidak asing lagi dan selalu diperkatakan dalam masyarakat. Statistik perpisahan, penceraian kebanyakannya disebabkan oleh kecurangan pasangan, tidak mengira jantina, sama ada lelaki ataupun perempuan.

Susulan itu, atas dasar keprihatinan, seorang individu telah mengemukakan soalan kepada pihak Mufti Wilayah Persekutuan mengenai perbuatan curang yang dikatakan dengan izin Allah. Baca soalan dan jawapannya di bawah.

Assalamualaikum. Baru-baru ini dalam twitter kecoh tentang kenyataan seorang influencer yang menyebut bahawa seseorang itu curang dengan izin Allah.

Banyak lagi kenyataan beliau yang boleh menimbulkan salah faham kepada masyarakat khususnya golongan remaja yang menjadi ‘follower’ beliau.

 

Boleh atau tidak kita menisbahkan sesuatu perkara maksiat atau jahat yang kita lakukan kepada Allah SWT? Seakan-akan kita mengatakan bahawa Allah redha dengan kejahatan yang kita lakukan. Seperti curang dengan izin Allah, mencuri dengan izin Allah, buat salah dengan izin Allah.

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN :

Kesimpulannya, perbuatan menisbah kejahatan, keburukan dan maksiat yang dilakukan kepada Allah SWT ialah perbuatan yang tidak beradab terhadap-Nya.

Ya, Allah SWT menciptakan semua perkara termasuk semua keburukan dan kejahatan, namun sebagai adab terhadap Allah SWT kita tidak boleh menisbahkan kepada-Nya kecuali perkara-perkara yang baik sahaja.

Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah, setiap hamba Allah mempunyai pilihan sama ada melakukan perkara kebaikan atau kejahatan. Namun kesemuanya tidak terkeluar dari kehendak Allah SWT. Daripada pilihan inilah manusia diuji dan akan diberikan balasan berdasarkan pilihan mereka semasa di dunia.

Selain itu, ucapan ‘saya melakukan maksiat ini dengan izin Allah SWT’ tidak melazimi bahawa Allah SWT redha terhadap perbuatan maksiat tersebut. Ini kerana kehendak (iradah) Allah SWT tidak melazimi keredhaan-Nya.

Oleh itu, sesiapa yang melakukan maksiat dengan pilihan dan kehendaknya sendiri, maka dia mendapat kemurkaan Allah SWT.

Ucapan sebegini tidak sepatutnya disebut dan malah perlu dielakkan, apatah lagi jika diniatkan untuk menghalalkan perbuatan maksiat dilakukan oleh seseorang.

WaAllahu a’lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here