Berkat doa arwah ibu, Ustaz Ebit Lew cekal lakukan amal kebajikan!

403

Pendakwah bebas dan usahawan, Ebit Lew meluahkan bahawa dia tidak akan berada pada kedudukan hari ini jika tidak kerana doa dari arwah ibunya.

Memetik temubual bersama Awani, dia menjelaskan bahawa ibulah yang selalu memberi semangat untuk pendakwah berusia 37 tahun itu terus teguh di jalan yang benar ketika beliau berasa kecewa dengan dunia.

Ibu pembakar semangat

“Dia akan selalu cakap, ‘Tak apalah nak, biar orang buat pada kita jangan kita buat pada orang. Kan Allah tahu, Dia nampak. Nanti Dia bagi pahala’,” luah Ebit Lew kepada pihak Awani dengan sayu.

Kini, Ebit Lew telah berjaya dan dikenali ramai dengan kerja-kerja amal baktinya, bahkan diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah 2020. Bagaimanapun, dia menyatakan betapa indahnya jika semua kejayaannya itu dapat dikongsi dengan ibunya.

“Selalu kalau cuti sekolah pada November dan Disember, saya akan berada jauh (mengikut kumpulan amal dan dakwah). Jadi saya akan ‘call’ mak saya, dan dia akan cakap ‘Ebit, selamat hari lahir. Mak sayang Ebit’.

“Sekarang dia sudah tiada, dan saya rindu suara itu.” katanya lagi.

Pengasas Pertubuhan Kasih Umat Malaysia itu mengakui, kadangkala dia hilang semangat untuk terus berjuang dan berasa lebih baik menjalani kehidupan biasa bersama anak dan isteri di rumah.

Namun, semangat ibunya menjadi pendorong dirinya terus bangun untuk tetap berbakti kepada agama dan negara.

“Jadi saya cakap ‘Ya Allah, kalau ada pahala untuk apa sahaja yang saya buat hari ini, saya nak hadiahkan buat mak saya. Apa orang nak cakap takkan memberhentikan saya, insya-Allah, daripada apa yang saya buat.

“Dialah hadiah paling mahal daripada segala wang ringgit segala harta dalam dunia,” jelas Ebit Lew, mengakhiri temubual.

Sumber: Awani (Israr Khalid)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here