Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban & Amalan Yang Digalakkan!

841

Kedatangan malam nisfu Syaban amat dialu-alukan oleh umat Islam kerana bulan Sya’aban merupakan bulan yang mulia, bulan beribadah dan bulan untuk memperbaiki diri. Sya’aban juga satu daripada empat bulan yang dinyatakan Allah S.W.T sebagai bulan yang dihormati.

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus”
(Surah at-Taubah : 36)

Menurut ahli tafsir, empat bulan yang dimaksudkan dalam kalimah ( arba’ata Hurum ) ialah bulan Rejab, Sya’aban, Ramadhan dan Muharam. Imam-at Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. apabila tiba bulan Rejab, baginda Rasulullah s.a.w. berdoa supaya diberkati bulan tersebut dan bulan Sya’aban serta Ramadhan berikutnya doa baginda yang bermaksud :

“ Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Sya’aban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadhan”.

Daripada Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel Irsyad al-Hadith Siri ke-70: Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban, dinyatakan antara kelebihan malam Nisfu Syaban antaranya adalah berdasarkan hadis berikut:

Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]

Menghidupkan bulan Sya’ban termasuk Nisfu Sya’ban dengan ibadat seperti membaca al-Quran, bertaubat, beristighfar, berdoa, solat hajat dan sebagainya adalah ibadah yang baik bagi mendekatkan diri kehadrat Allah S.W.T.

Menurut Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam nisfu Sya’ban.

Tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya samada dengan membaca al-Quran, solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi.

Walaubagaimanapun, kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum. Maka kesimpulannya bahawa tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi SAW berkaitan malam nisfu Sya’ban.

Seperti yang kita sedia maklum, masyarakat Islam di Malaysia memperbaynakkan amalan di bulan ini dengan membuat pelbagai aktiviti ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T seperti puasa, solat, membaca al-Quran, berdoa, bersedekah, bertahlil, berwirid dan sebagainya.

Menurut S.S Dato’ Dato’ Hj Abd. Majid Bin Omar, mereka yang sudah sebati degan amalan terseut melakukannya kerana mereka melihat kepada pengisian ibadah pada bulan atau hari tersebut tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Ini kerana semua amalan diyakini baik bagi mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Antara contoh amalan yang dilakukan mereka yang dianggap Sunnah Rasulullah s.a.w:

1. Puasa sunat

Mengikut Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. membanyakkan puasa di bulan Sya’aban.

Baca juga: Puasa Hari Putih (13, 14 & 15 Haribulan Dalam Bulan Islam): Hukum, Niat & Kelebihannya

2. Membaca surah Yasin

Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya membaca al-Quran. Setiap huruf diberi ganjaran pahala berganda. Surah Yasin adalah satu surah dalam al-Quran.

3. Berdoa

Nabi Muhammad s.a.w. mengatakan bahawa doa itu senjata orang mukmin. Allah S.W.T. memerintah hambaNya berdoa nescaya Allah S.W.T. memperkenankan doa mereka.

4. Mengadakan majlis kenduri

Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan bersedekah dan mengeratkan silaturrahim. Kenduri juga merupakan perhimpunan sanak keluarga.

5. Bertahlil

Kerana berpendapat tahlil itu mengandungi bacaaan dari ayat al-Quran, zikir Lailaha illallah, berdoa dan beristighfar mohon keampunan Alah S.W.T terhadap keluarga yang meninggal dunia agar dicucuri rahmat ke atas rohnya.

Tegasnya amalan-amalan tersebut tiada larangan melakukan pada bulan Sya’aban, tiada pula disunatkan kerana bulannya, hari atau malamnya tetapi apa yang disunatkan ialah kerana kesunnahan ibadah tersebut.

Sumber: Sirap Limau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here