“Rakyat Tak Perlu Risau, Tindakan Tetap Akan Diambil” – Polis

1416

Hangat diperkatakan mengenai majlis pernikahan Neelofa dan PU Riz berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP), pengurus acara majlis tersebut dipanggil hari ini bagi membantu siasatan.

Memetik laporan Harian Metro, selain daripada pengurus acara berkenaan, beberapa saksi lain termasuk pekerja hotel turut akan dipanggil bagi memberi keterangan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, orang ramai diminta untuk tidak salah faham berhubung pengeluaran kompaun terhadap kesalahan melanggar SOP.

“Polis menerima maklumat selepas gambar berkenaan tular kerana majlis diadakan secara tertutup, jadi siasatan perlu dijalankan.

“Kalaulah majlis itu masih berjalan dan ketika itu juga polis menerima laporan mengenai perlanggaran SOP, sudah pasti kita akan ke lokasi dan mengeluarkan kompaun,” katanya.

Tambahnya lagi, siasatan perlu dijalankan bagi mengenal pasti gambar yang tular termasuk kesahihan gambar tular itu sebelum tindakan lanjut diambil.

“Masyarakat tidak perlu khuatir, tidak ada pilih bulu dalam pelaksanaan SOP, tindakan sewajarnya akan di ambil selepas kertas siasatan lengkap dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Sabtu lalu, Neelofa selamat diijabkabulkan dengan pelakon dan pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 26, di hotel terkemuka di ibu kota.

SUMBER HARIAN METRO

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here