Banyak Kenangan Bersama, Rakan Artis Zahir Ucapan Belasungkawa Buat Arwah Abu Bakar Omar!

1707

Pelakon veteran iaitu Haji Abu Bakar Omar menghembuskan nafas terakhir dipercayai masalah jantung dan hati di Kedah Medical Centre (KMC) pada 9.05 pagi tadi. Arwah dipercayai menghidap beberapa lagi penyakit termasuk kolestrol dan masalah usus.

Di Instagram, rakan artis turut menzahirkan ucapan takziah dan ada juga yang berkongsi pengalaman serta kenangan ketika pernah bekerjasama dengan Allahyarham Haji Abu Bakar Omar.

Pelakon Azhan Rani berkongsi pengalaman ketika pernah menjalani penggambaran drama bersama arwah ketika di Kedah dan Perlis. Azhan Rani turut memuji sifat dan keperibadian arwah yang sangat berdedikasi dalam menggalas tanggungjawab sebagai seorang pelakon.

Allahuakbar. Baru sahaja menerima berita duka perginya seorang pelakon yang sangat-sangat aku kagumi dari kecil lagi baik di pentas teater, drama radio tv dan filem. Antara pelakon yang paling aku teruja kalau dia yang jadi ayah aku dalam cerita tu. Selamat berangkat ke negeri abadi uncle Abu Bakar Omar. Mac 2020 aku terlalu teruja bila dapat tau beliau sudi untuk bersama-sama kami dalam telemovie #khilafterakhir yang diterbitkan untuk @rtm_malaysia yang menjalani pengambaran di Kedah dan Perlis.

Lama beliau berehat dari muncul di depan kamera. Bakat, disiplin dan dedikasinya terhadap dunia seni lakon terlalu tinggi. Pastinya akan dirindui ramai lagi-lagi yang pernah bekerjasama dengannya.

Sementara itu, pengarah drama terkenal iaitu Shahrulezad Mohameddin turut menzahirkan ucapan salam takziah buat keluarga arwah Abu Bakar Omar. Dia turut mendoakan agar ahli keluarga arwah diberi kekuatan dalam menghadapi ujian ini.

Innalillahiwainailaihirojiun. Bertuah sungguh uncle bila dijemput Allah pada hari Jumaat dan di bulan Ramadan. Satu kematian yang dicemburui. Salam takziah buat keluarga. Semoga diberi ketabahan dan kesabaran dalam berdepan dengan perpisahan sementara ini. InsyaAllah pasti kita semua dipertemukan di syurga Allah kelak nanti. Amin Ya Rabbal Alamin.

Selain itu, turut kelihatan rakan seperjuangan dalam industri iaitu Fauziah Ahmad Daud juga mendedikasikan doa buat arwah. Tidak dinafikan arwah dan Fauziah Ahmad Daud merupakan kenalan lama sejak mereka menceburi bidang seni lagi. Sudah tentu banyak kenangan terukir bersama.

Abang Bakar Omar dah tiada. Beruntungnya Abang dipanggil pulang pada hari Jumaat di bulan Ramadhan. Banyak sungguh kenangan indah bersama Abang ketika berlakon bersama. Aktor yang saya amat-amat menghormati hasil kerja Abang akan sentiasa terpahat dihati peminat-peminat Abang. Ya Allah Kau Ampunkanlah dosa-dosanya dan tempatkanlah rohnya di dalam golongan orang-orang yang beriman.. Aamiin..

Sepanjang kerjayanya, arwah pernah membintangi banyak filem dan drama. Antara filem, Tsu Feh Sofia, Rahsia, Fenomena, Bila Hati Telah Retak, Cinta Kolestrol dan banyak lagi.

Malah, arwah pernah meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik (Drama), Anugerah Sri Angkasa (ASA) pada 1983 menerusi drama Senja Belum Berakhir bergandingan dengan Uji Rashid; Pelakon Lelaki Terbaik (Drama Radio), ASA 1990 (Bukan Kerana Kasih), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin TV3 (ASK) pada 1999 menerusi drama Mata Hati dan Pelakon Lelaki Terbaik, ASK 2012 (telefilem Gincu Ayah).

Sumber: Instagram

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here