Rentas Negeri Ke Majlis Perkahwinan Adik Punca Kluster Baharu Di Terengganu!

488

Kluster Taman Rakyat yang menjadi kluster baharu COVID-19 di Terengganu berpunca dari aktiviti rentas negeri seorang individu dari Sabah untuk menghadiri majlis perkahwinan adiknya yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata 26 kes dikesan positif COVID-19 dari kluster berkenaan, yakni iaitu 11 orang ahli keluarga dan 15 lagi tetamu yang menghadiri kenduri.

“Hasil pertemuan hanya untuk ‘kirim’ duit kenduri serta cenderahati telah menjangkiti kawan baik. Kawannya itu pula telah mengadakan majlis akikah di kampung yang akhirnya menjangkiti lima ahli keluarga dan tujuh tetamu kenduri akikah,” katanya dalam satu paparan di laman Facebooknya semalam.

“Jadi apa iktibar kisah-kisah ini? Adanya rentas negeri dan perkumpulan ramai orang tanpa pematuhan SOP. Jika SOP dipatuhi, tak akan ada jangkitan. Kalau ada pun, ia sangat minima dan bukan kluster besar sebegini.

“Sebab itu kami selalu pesan tangguh dulu perkumpulan ramai orang. Kita tak tahu siapa yang kita jumpa walaupun ahli keluarga atau rakan sekerja. Kita semua yang patut kuatkuasakan pematuhan SOP, bukannya diserah semata-mata kepada agensi penguatkuasaan,” katanya.

Ketika ini terdapat 238 kes aktif COVID-19 di Terengganu dengan kes tertinggi direkodkan di Besut iaitu 127 kes diikuti Kuala Nerus (43), Dungun (27), Kuala Terengganu (27), Hulu Terengganu (tujuh), Marang (empat) dan Setiu (tiga).

Kluster Taman Rakyat yang didaftarkan pada 15 April adalah kluster komuniti yang melibatkan daerah Dungun. Kes indeks bagi kluster itu ialah seorang lelaki berusia 32 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 pada 6 April hasil saringan sebelum kembali ke Sabah.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here