Patutlah Perjalanan Balik Rasa Lagi Cepat Sampai Berbanding Masa Nak Pergi, Ini Alasannya!

631

Perasan tak, perjalanan pulang sering dirasakan lebih singkat berbanding semasa pergi. Kenapa ya? Padahal jarak dan jalan digunakan sama sahaja.

Berdasarkan terbitan Washington Post, kejadian ini boleh dikaitkan dengan fenomena return trip effect di mana anda akan merasakan perjalanan bertolak ke lokasi yang tidak pernah dikunjungi akan lebih panjang berbanding perjalanan pulang dari lokasi itu.

Memetik kajian diterbitkan jurnal Plos One, sekumpulan penyelidik dari Jepun meletakkan dua kumpulan responden di dalam sebuah bilik yang malap. Mereka diminta menonton dua klip berdurasi 20 minit memaparkan perjalanan seorang jurukamera yang berjalan di sekitar sebuah bandar.

Hasil pemerhatian, kumpulan yang menonton rakaman perjalanan dua hala (video A) merasakan perjalanan pulang dari titik E ke titik S lebih pendek berbanding perjalanan pergi manakala kumpulan yang menonton video sehala tidak mengalami fenomena itu.

Menurut Vox pula, fenomena ini mungkin berlaku atas beberapa faktor, iaitu:

1. Pengetahuan atau kebiasaan terhadap jalan

Penyelidik pada tahun 1950-an percaya, pengetahuan atau rasa familiar ketika perjalanan pulang menyumbang kepada kesan return trip effect tersebut. Kajian mendapati kita akan merasakan masa bergerak perlahan ketika melalui sesuatu situasi atau pengalaman yang tidak dikenali (familiar) sebelum itu, tulis Vox.

Bagaimanapun, ujikaji pada 2011 mendapati rasa familiar bukanlah alasan sebenar return trip effect. Dalam kajian itu, penyelidik meminta sekumpulan responden untuk mengayuh basikal menggunakan laluan yang sama ketika perjalanan pergi dan balik, manakala kumpulan lain menggunakan laluan berbeza.

Hasilnya, kedua-dua kumpulan itu berasakan perjalanan pulang lebih singkat biarpun salah satu kumpulan menggunakan jalan pulang yang berbeza.

Situasi serupa juga berlaku ketika kita menggunakan pengangkutan udara seperti kapal terbang, di mana kita tidak dapat membezakan keadaan di atas awan, namun tetap merasakan perjalanan pulang lebih singkat berbanding sebelumnya, lapor Vox.com.

2. Keinginan untuk sampai tepat pada masanya

Alasan lain yang dipercayai menyumbang kepada return trip effect adalah apabila kita sering melihat jam untuk memastikan kita sampai ke destinasi tepat pada masanya. Malah jika diperhatikan, semakin kerap kita ‘memerhatikan’ masa berlalu, semakin lambat kita rasakan ia berjalan.

“Pulang ke lokasi asal, walaupun jaraknya sama, ramai yang merasakan ia lebih pendek berbanding ketika perjalanan pergi. Hal ini kerana masa tidak penting (semasa perjalanan pulang), jadi perhatian kita dialihkan kepada perkara yang berlaku di sekeliling kita,” kata ahli psikologi, Dan Zakay yang dikongsikan semula oleh Vox.

3. Anggaran berlebihan terhadap masa

Berdasarkan kajian oleh pakar psikiologi Belanda, Niels van de Ven pula, beliau percaya sikap meletakkan anggaran berlebihan terhadap tempoh masa yang bakal diambil untuk perjalanan pulang membuatkan kita merasakan ia berlaku lebih cepat.

“Orang selalu optimis semasa ingin memulakan perjalanan,” katanya. Jelas Niels, perasaan optimis itu membuatkan perjalanan pergi dirasakan lebih panjang berbanding jangkaan (tidak sabar sampai ke destinasi).

Jadi anda mulakan perjalanan pulang, dan anda berfikir, “Mesti akan ambil masa lama. Hasilnya, anda akan merasakan perjalanan pulang lebih pendek, katanya.

Sumber: Washington Post, Vox.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here