Gara-Gara Barkoba, Bell Ngasri Jadi Ikon ‘Muka Orang Tak Puasa’ Setiap Kali Ramadhan

268

Siapa tidak kenal dengan pelakon yang sering membawa watak komedi seorang ini. Bell Ngasri yang berusia 41 tahun seringkali mencuit hati para penonton dalam setiap watak yang dibawakannya.

Namun, sejak kebelakangan ini gambar salah satu watak lakonan Bell Ngasri sering berlegar-legar di ruangan media sosial. Ia merupakan watak Barkoba yang dilakonkannya dalam drama 16 Puasa dan 17 Puasa. Drama tersebut merupakan arahan salah seorang pengarah yang boleh dikatakan genius dari segi penceritaan, jalan cerita, skrip dan mesej yang disampaikan iaitu Mamat Khalid.

Siapa sangka ada lagi sambungan siri drama ini yang terbaru iaitu 18 Puasa di Kampung Pisang. Nama Kampung Pisang memang tidak asing lagi dengan drama dan filem arahan Mamat Khalid sebenarnya. Namun, apa yang paling mencuri tumpuan adalah watak Barkoba itu sendiri. Menurut Bell Ngasri, watak tersebut sekarang ini telah menjadi ikon geng “plastik hitam” di Malaysia.

Plastik hitam adalah merujuk kepada mereka yang tidak berpuasa dimana mereka akan membeli makanan daripada kedai-kedai makan dan meletakkannya didalam plastik hitam untuk mengelakkan diri daripada “terkantoi” tidak berpuasa.

“Saya pelik juga bila lihat orang suka sangat dengan watak Barkoba ini hingga tular di media sosial. Apapun, saya amat berterima kasih dengan pengarah, Mamat Khalid kerana memberikan saya watak berkenaan.

“Saya berpuasa penuh..”

“Disebabkan Barkoba yang saya lakonkan sejak 16 Puasa dulu, setiap kali Ramadan, wajah saya akan jadi ‘muka orang tak puasa’ yang disebarkan menerusi media sosial. Namun, ia hanyalah lakonan sahaja. Saya tidaklah berperangai seperti Barkoba kerana saya berpuasa penuh. Saya tak sangka watak itu boleh buat orang suka tengok dan diterima baik,” katanya.

Menurut Bell, apa yang boleh disifatkan mengenai penerimaan orang ramai terhadap watak itu umpama bom jangka yang tiba-tiba meletop dan meledak.

“Gara-gara Barkoba juga, wajah saya turut diletak dalam kumpulan WhatsApp dan sebagainya hingga tersebar merata-rata. Lakonan saya mungkin disukai ramai kerana nasib berikutan watak yang dilakonkan itu dekat dengan masyarakat dan seterusnya mendapat perhatian.

“Saya bersyukur kerana dalam karier lakonan ini, selagi orang terima dan nak tengok, saya buat saja. Tak ada apa-apa rahsia kejayaan selain buat kerja itu dengan ikhlas,” katanya yang juga anak kepada penyampai radio popular Ngasri Sain.

Ramai yang mencadangkan supaya Bell Ngasri menerima gelaran Datuk diatas jasanya didalam bidang seni sejak dari usia yang masih muda lagi. Paling tidak, berikanlah dirinya anugerah untuk menghargai bakat lakonan luarbiasa dia.

Ramai yang meninggalkan komen bahawa Bell Ngasri sebenarnya setanding dengan pelakon-pelakon lagenda yang lain. Mungkin dirinya kurang bernasib baik kerana tidak membawa watak utama.

“Pernah borak depan-depan..”

Ada juga yang kagum dengan sifat dan sikap Bell Ngasri. Walaupun didalam kamera dia kelihatan gila-gila, namun dia mampu menyesuaikan diri dengan keadaan sebaiknya.

Ramai juga yang berasa pelik kerana Bell Ngasri tidak pernah mendapat sebarang anugerah. Bagi kebanyakan orang, mereka bersetuju bahawa Bell Ngasri merupakan pelakon yang sangat berbakat.

Tiada lain yang kami harapkan sebagai peminat supaya satu hari nanti bakat Bell Ngasri akan diberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Ada juga ramai lagi pelakon-pelakon lain yang mempunyai bakat yang hebat, namun disebabkan oleh faktor rupa dan populariti, mereka sering dipandang sepi.

Semoga industri filem tanah air kita akan melangkah ke tahap baru apabila bakat yang ada dihargai dengan sebaiknya. Apapun, teruskan karier seni anda, Bell Ngasri. Yak yak yea!

SUMBER : HARIAN METRO

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here