Sedia tempat tinggal anak yatim & asnaf, Ebit Lew tubuh Rumah Kasih Umat di Gaza

188

Seperti yang ramai tahu, pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew kini sedang menjalani misi kemanusiaan di Gaza, Palestin. Menerusi laman sosial Facebook, pemilik perusahaan Ebit Lew Mart itu memuat naik perkembangannya yang mana dia telah menyewa 2 biji rumah untuk dijadikan sebagai Rumah Kasih Umat buat anak yatim dan golongan asnaf di sana.

Dalam pada itu, pendakwah berusia 37 tahun itu turut berkongsi kisah seorang ibu tunggal yang telah kehilangan suami akibat bedilan bom Zionis Israel baru-baru ini.

Difahamkan lagi, wanita itu mempunyai 7 orang anak yang masih kecil. Biarpun baru sahaja menghadapi pemergiaan ayah tersayang, mereka masih boleh tersenyum dan seronok apabila diberi hadiah.

Simpati akan nasib keluarga tersebut, Ebit terus membawa mereka ke Rumah Kasih Umat dan memberikan sedikit sumbangan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Menurut Ebit, pihaknya juga berbesar hati membayar gaji cikgu yang akan ditugaskan menjaga dan menguruskan Rumah Kasih Umat berkenaan.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen mendoakan keselamatan Ebit dan pihak yang terlibat dalam misi kemanusiaan itu.

Malah, ramai juga yang meluahkan rasa sebak tatkala melihat kemurahan hati insan bernama Ebit Irawan Ibrahim Lew yang tidak pernah putus asa membantu manusia dalam kesusahan.

Terdahulu, Ebit memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa bahawa dia kurang memuat naik perkembangan ketika menjalankan misi oleh kerana faktor keselamatan.

Justeru itu, Ebit Lew berharap seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan misi tersebut berjalan dengan lancar.

Sumber: Facebook Ustaz Ebit Lew

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here