20 Keunikan Johor Yang Tiada Di Negeri Lain

339
Sudah agak lama rasanya kita semua ‘bercuti’ daripada dapat melancong ke mana-mana tempat menarik, kan? Semuanya disebabkan kekangan pandemik COVID-19, ditambah lagi limitasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa sejak 18 Mac tahun lalu.

Menyentuh soal pelancongan, terdapat banyak destinasi menarik di negara ini yang tersenarai dalam ‘waiting list’ kita. Tapi sebagai permulaan bagi misi melancong selepas tamat pandemik nanti, apa kata kita cuba dulu ‘menerjah’ ke selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim?

Percaya atau tidak, negeri Johor mempunyai 20 keunikannya tersendiri yang mungkin tiada di negeri-negeri lain. Keunikan inilah yang menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan pilihan pertama oleh rakyat Malaysia. Mari kita lihat apa yang ada di Johor di bawah ini.

1. Johor ada lima taman negara & taman laut tercantik 

 

Di Johor terdapat lima taman negara yang terkenal iaitu:-

Taman Negara Endau Rompin: Berkeluasan 48,905 hektar, direkodkan sebagai hutan hutan semulajadi terbesar di selatan tanah air. Taman Negara Selai: Pintu masuk ke Taman Negara Endau-Rompin, menjanjikan pengalaman menarik merentas jeram & sungai semulajadi. Taman Negara Gunung Ledang: Gunung yang terkenal dalam sejarah Melayu & antara menjadi lokasi pilihan untuk pendaki. Taman Negara Pulau Kukup: Diiktiraf sebagai pulau paya bakau antara yang terbesar di dunia, menjadi lokasi burung air bermigrasi. Taman Negara Tanjung Piai: Mempunyai titik lokasi penghujung selatan benua Asia.

Selain itu, kawasan perairan Johor juga mempunyai keindahannya tersendiri. Keadaan laut yang bersih dan selamat seperti Taman Laut Sultan Iskandar di Mersing menjadikan perairan itu sebagai satu-satunya lokasi tumpuan dugong di negara ini.

Secara ekologi, pulau-pulau ini mempunyai gabungan flora dan fauna yang unik termasuk daripada spesies asal, endemik dan juga yang jarang dijumpai atau yang terancam secara global, baik di darat mahupun di air.

Sebahagian daripada Geopark Mersing, pulau-pulau ini juga memiliki warisan geologi yang unik. Formasi batu lava berusia 248 juta tahun boleh ditemui di tempat-tempat tertentu, seperti di bahagian tenggara Pulau Sibu.

2. Johor ada pasukan bola sepak terhebat negara

Johor Darul Ta’zim FC atau lebih dikenali sebagai JDT merupakan pasukan bola sepak yang digeruni di Malaysia. Dengan mencatat rekod sebagai juara Liga Super sebanyak tujuh kali berturut-turut sejak 2013, JDT juga pernah berjaya membawa pulang piala AFC sebagai juara pada 2015.

Tidak hanya hebat di atas padang, kekuatan JDT juga terbukti melalui pembangunan infrastruktur sukan yang lengkap seperti pusat latihan, stadium, akademi bola sepak, pasukan media dan sebagainya.

Terbaharu, JDT baru sahaja merasmikan Stadium Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai stadium rasmi pasukan pada 22 Februari 2020. Kecanggihan kawasan stadium yang lengkap ini bakal menjadi tarikan buat peminat bola sepak negara, khususnya penyokong rakyat Johor sendiri.

3. Taman tema Lego pertama di Asia

Dibuka pada 15 September 2012, taman tema Legoland Malaysia di Kota Iskandar, Johor Bahru merupakan yang pertama dibuka di Asia. Dengan keluasan lebih 5.5 juta kaki persegi, Legoland Malaysia mempunyai pelbagai tarikan menarik seperti taman tema, akuarium Sealife Malaysia, pusat hiburan keluarga dan banyak lagi.

Ia juga menjadi pilihan pelancong di rantau Asia berikutan keunikannya yang tidak di tempat lain di rantau ini. Menariknya, restoran-restoran di sini hanya menyediakan makanan halal dan bertemakan masakan Malaysia. Rasa-rasanya bukan sahaja untuk anak-anak, malah golongan dewasa juga akan berjaya menjadikan permainan Lego menjadi realiti.

4. Johor ada penghujung benua Asia

Kredit: Adventoro/Google

Siapa sangka, kawasan perakhiran paling hujung benua terbesar di dunia benua Asia terletak di Tanjung Piai, Johor? Selain keunikannya sebagai kawasan paling selatan di Tanjung Piai, pelancong juga dapat berdiri di titik pertemuan tiga negara iaitu Singapura, Indonesia dan Malaysia.

Dalam pada itu, Taman Negara Tanjung Piai juga ‘terbina’ dengan keindahan hutan paya bakau. Para pengunjung  boleh menikmati keindahan hutan bakau yang tenang lagi mendamaikan di sini.

5. Johor ada pulau paya bakau antara yang terbesar di dunia

Taman Negara Pulau Kukup yang ditubuh dan dibuka sejak 1997 ini terletak di Pontian. Dengan berkeluasan kira-kira 647 hektar, pulau ini dikategorikan sebagai salah sebuah pulau paya bakau antara yang terbesar di dunia.

Pulau ini merupakan kawasan perlindungan penting bagi pelbagai spesies tumbuhan dan haiwan yang berekosistem di paya bakau. Malah pulau ini juga ibarat ‘syurga’ bagi beberapa spesies yang jarang ditemui dan terancam. Selain itu, pulau ini merupakan tempat persinggahan penting bagi burung air yang bermigrasi melakukan perjalanan panjang di sepanjang laluan Asia-Australasia (EAAF).

Kalau anda ingin mencari ketenangan ‘melayan’ angin petang yang bertiup di celah-celah pokok bakau, di sinilah tempat yang sesuai untuk anda. Anda juga boleh ‘mengembara’ sama ada melalui laluan trek pejalan kaki ataupun bot.

6. Johor ada ‘fesyen’ & alat musik tradisional sendiri

Kalau Melaka ada baju Melayu Cekak Musang, Johor pula ada baju Melayu Teluk Belanga. Menurut catatan sejarah, ‘fesyen’ Teluk Belanga mula diperkenalkan di Singapura pada 1862 oleh Temenggung Abu Bakar yang ketika itu menjadi Temenggung Johor.

Dikatakan nama ‘Teluk Belanga’ itu sendiri diambil bersempena lokasi kediamannya di Teluk Belanga, Singapura (kini dikenali sebagai Harbour Front). Kini, baju Melayu Teluk Belanga menjadi pilihan ramai sepanjang masa, dipadankan dengan kain samping yang dipakai secara berdagang luar atau berdagang dalam.

Selain itu, Johor juga mempunyai alat muzik tradisional yang dibawa oleh pedagang Arab pada awal abad ke-19 iaitu gambus. Boleh dikatakan gambus ini berperanan sebagai ‘watak’ utama dalam persembahan tradisi negeri seperti lagu-lagu Ghazal dan tarian Zapin. Seiring dengan arus kemodenan, gambus kini sering digunakan dalam kebanyakan penghasilan lagu. Antara penyanyi tanah air yang membawa alat muzik tradisi ini ke pentas industri hiburan ialah Allahyarham Fadzil Ahmad dan Fauziah Gambus.

7. Johor ada menu tradisi unik

Siapa yang jenis ‘kaki makan’, pasti sudah maklum dengan keunikan resipi Laksa Johor yang menggunakan spageti berbanding negeri lain. Selain itu, kekuatan Laksa Johor juga adalah pada kuahnya yang pekat-melikat, ditambah pula dengan keenakan isi ikan parang.

Selain itu, Johor juga mempunyai menu santapan tradisi orang Jawa iaitu Nasi Ambeng. Biasanya ia dihidangkan dalam dulang untuk dikongsi beramai-ramai dengan pelbagai lauk seperti nasi kukus, mee, ayam, serunding kelapa, ikan kering dan sebagainya.

Satu lagi menu yang cukup popular dan ‘digilai’ pelancong apabila bertandang ke Johor ialah mee bandung. Boleh kata, hanya orang Johor saja yang tahu ‘rahsia’ keenakan mee bandung sebenar. Antara lokasi ‘panas’ mee bandung adalah di bandar Muar.

8. Johor ada perarakan Chingay & terowong naga terbesar

Pada setiap Februari, Bandaraya Johor Bahru dimeriahkan dengan perarakan Chingay. Kemeriahannya sangat dirasai apabila kira-kira 200,000 masyarakat Tiong Hua membanjiri jalan raya di Johor Bahru sepanjang tujuh hingga lapan kilometer bagi meraikan sambutan tersebut.

Kalau anda sertai sekali perarakan ini, pasti anda berpeluang untuk menyaksikan naga besar ‘terbang’ di depan mata sendiri. Para pelancong juga turut berpeluang merasai kemeriahan ini. Memang cukup mengujakan.

Bercakap tentang naga, tahukah anda di Johor juga ada terowong naga? Ya, memang ada iaitu di The Fortune Dragon Statue yang terletak di Yong Peng. Dibina sepanjang 115 meter dengan kos RM8 juta, ia turut direkodkan sebagai terowong naga terbesar dan terpanjang di dunia.

Tidak cukup hanya itu, anda juga boleh ‘mengembara’ ke sekitar taman di sini untuk merasai suasana seakan-akan berada di Tanah Besar China. Bergambar di ‘taman kedamaian’ berlatarbelakangkan naga gergasi, pasti akan menjadi pengalaman yang tak dapat dilupakan.

9. Johor ada festival layang-layang terbesar Malaysia

Kredit: Johor Foodie

Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) merupakan festival pertunjukan layang-layang terbesar di negara ini. Bermula sejak 1995, ia dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Pasir Gudang dengan kerjasama Tourism Johor dan Persatuan Pelayang Johor.

Keunikan festival ini adalah ia mengumpulkan ratusan pelayang berkemahiran daripada dalam dan luar negara dengan melayangkan pelbagai jenis bentuk layang-layang mereka di udara selama seminggu di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang.

Menariknya, mata anda akan turut ‘dijamu’ dengan pelbagai jenis bentuk layang-layang yang unik. Sudah pasti membuatkan anda ‘tak menang tangan’ nak bergambar atau buat ‘Story’ di Instagram.

10. Johor ada ladang nanas & organik terbesar di Malaysia

Kredit: LIBUR/Google

Mungkin ramai yang belum tahu, di Johor terdapat ladang nanas yang terbesar di Malaysia. Antara ladang yang cukup dikenali di mata pelancong ialah Taman Agroteknologi Nanas Alor Bukit, Pekan Nanas di Pontian yang berkeluasan hingga 300 ekar.

Tiba saja di sini, mata anda akan dijamu dengan pemandangan ‘seluas mata memandang’. Difahamkan, kira-kira 80 spesies nanas ditanam di sini dan ia menyamai satu pertiga spesies nanas di seluruh dunia.

Selain itu, di Johor juga terdapat ladang organik yang terbesar iaitu Zenxin Organic Park di Kluang. Ia bermula sebagai tempat agro-pelancongan pada 2009 dahulu sebelum ‘dinaik-taraf’ menjadi ladang organik terbesar.

Pelbagai buah-buahan organik didapati di sini, malah anda juga boleh memetik sendiri tumbuhan untuk dimakan bersama juadah yang dijual. Untuk rekod, Zenxin Organic Park pernah menerima 500,000 pengunjung dari Singapura dan ini menjadikannya sebagai lokasi tumpuan pelancong di Johor.

11. Johor ada sempadan negara tersibuk di dunia

Tambak Johor yang menghubungkan Johor Bahru – Singapura merupakan sempadan laluan darat antara dua negara paling sibuk di dunia. Menurut laporan Channel News Asia, kira-kira 126,000 kenderaan melalui tambak ini pada setiap hari.

Kebiasaannya warga Malaysia yang bekerja di Singapura akan mula memenuhi laluan ini seawal empat pagi lagi bagi mengelakkan kesesakan. Meskipun sering sesak pada waktu puncak, kesesakan inilah yang menjadi bukti aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara saling bergantung antara satu sama lain. Kedua-dua negara ini turut dihubungkan melalui laluan kereta api yang hanya mengambil masa selama lima minit sahaja antara JB Sentral dan Woodlands, Singapura.

12. Johor ada trek zipline antara yang terpanjang di Malaysia

Kredit: Petfriendly.io/Google

Percaya atau tidak, Johor mempunyai trek luncuran (zip line) antara yang terpanjang di Malaysia, iaitu RAF Point Adventures di Kota Tinggi. Selain merasai cabaran meluncur pada ketinggian 560 meter, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai lagi aktiviti lasak lain seperti perkhemahan, paintball, acara keluarga dan banyak lagi.

Dalam pada itu, kedudukannya yang terletak berhampiran dengan air terjun Kota Tinggi pastinya akan menjadikan lawatan ke daerah Kota Tinggi menjadi lebih menarik. Pendek kata, kalau rasa-rasa sudah ‘penat’ bermain aktiviti ekstrim di sini, bolehlah pula berkunjung sebentar di Air Terjun Kota Tinggi untuk menikmati kesegaran air terjun semulajadi.

13. Johor ada gunung bersejarah dalam lagenda Melayu

Siapa yang tidak kenal dengan Gunung Ledang? Sebuah gunung yang tercatat dalam sejarah Melayu tentang kisah cinta legenda Puteri Gunung Ledang dilamar Sultan Mahmud Shah menerusi pinangan Laksamana Hang Tuah.

Terletak di daerah Tangkak, Muar, gunung ini telah diiktiraf sebagai Taman Negara Johor pada 2005. Dengan ketinggian hanya 1,276 meter dari aras laut, pendaki juga boleh melepaskan lelah selepas tamat pendakian dengan menikmati keindahan air terjun Sagil yang terletak di kaki gunung tersebut.

Walaupun tingginya tidak sampai 2,000 meter, namun boleh dikatakan trek pendakian Gunung Ledang adalah antara yang mencabar di Malaysia.

14. Johor ada titik pemula ‘0 KM’ Semenanjung Malaysia

Penanda batu kosong atau sifat kilometer (0 KM) bagi kebanyakan negara biasanya berpusat dan bermula di ibu negara. Namun berbeza bagi Malaysia, lokasi sifar kilometernya adalah terletak di Johor.

Titik lokasi sifar kilometer bagi laluan darat serta lebuhraya di Semenanjung Malaysia berada di hadapan bangunan Pejabat Pos Malaysia Johor Bahru. Uniknya, 0 KM bermula di sana adalah kerana jarak bagi ketiga-tiga laluan di tulang belakang utama Semenanjung Malaysia iaitu Laluan Persekutuan 1, Laluan Persekutuan 2 dan Laluan Persekutuan 3 dikira dari Johor Bahru.

Pendek kata, lokasi Johor mnemang benar-benar strategik. Selain mempunyai tanah paling selatan di Asia, negeri ini juga berperanan sebagai ‘pemula’ bagi laluan darat di sepanjang Semenanjung.

15. Johor ada Galeri Bukit Kepong; peristiwa berdarah perjuangan menentang Komunis

Balai Polis Bukit Kepong pernah menjadi saksi pertempuran bersenjata antara pihak polis Tanah Melayu melawan serangan gerila 180 tentera Komunis pada Subuh 23 Februari 1950.

Meskipun telah berjuang habis-habisan, namun akhirnya seluruh balai beserta anggota polis tumpas dan terkorban bersama perjuangan yang bersejarah. Sejarah peristiwa Bukit Kepong kini dikenang dalam bangunan Galeri Darurat Bukit Kepong yang terletak di Jalan Muar-Labis, Bukit Kepong.

Dalam masa sama, peringatan terhadap tragedi bersejarah ini turut telah dipaparkan di layar perak menerusi filem Bukit Kepong (1981) arahan Jins Shamsuddin. Justeru, Galeri Darurat Bukit Kepong juga diwujudkan sebagai usaha menyuntik semangat patriotik tentang betapa sukarnya perjuangan pihak polis mempertahankan negara hingga kita berjaya mencapai kemakmuran sehingga hari ini.

16. Johor ada kuil Hindu yang dibina daripada kaca

Jika Terengganu ada Masjid Kristal yang dibina daripada kaca, Johor juga ada kuil Hindu yang turut dibina menggunakan bahan yang sama. Dipandang indah bagaikan kristal, Kuil Kaca Arulmigu Sri Rajakaliamman di Johor Bahru pernah menempah nama dalam Malaysia Book of Record sebagai kuil kaca pertama di Malaysia pada 2010 lalu dengan 300,000 kepingan kaca digunakan dalam pembinaannya. Kuil ini sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara dari semasa ke semasa.

17. Johor ada ladang herba & rempah terbesar

Biasanya ladang yang menjadi tarikan pelancong ialah ladang buah-buahan tanah tinggi, ladang ternakan serta ladang sayur. Namun ada satu lagi ladang pelancongan terkenal yang anda harus tahu ialah Ladang Rempah & Herba Nasuha di Muar.

Tahukah anda, ladang ini merupakan ladang herba dan rempah yang terbesar di Malaysia. Dengan berkeluasan kira-kira 3,200 hektar, ladang ini menempatkan penanaman lebih 150 jenis rempah dan herba dari seluruh dunia.

Menariknya, walaupun menjadi tempat pelancongan terkenal, anda boleh memasuki ladang ini secara percuma sahaja tanpa sebarang bayaran. Tidak perlu melancong ke luar negara untuk mengenali rempah, segalanya cukup di sini.

18. Johor ada bandar terbersih yang diiktiraf di Asia Tenggara

Siapa sangka, walaupun infrastrukturnya tidaklah semegah bandaraya Johor Bahru, namun Muar, iaitu Bandar DiRaja telah diiktiraf dan dinobatkan sebagai Bandar Pelancongan Terbersih di Asia Tenggara 2017 dalam Mesyuarat ASEAN Tourism Forum di Chiang Mai, Thailand pada 2018 lalu.

Jika anda sendiri datang ke Bandar Muar, pastinya hati anda akan terpegun dengan keindahan bangunan, jalanraya, keramahan penduduk, pemandangan indah Sungai Muar dan banyak lagi. Seperkara lagi, kedatangan anda ke Muar pasti tidak akan lengkap sekiranya tidak merasai keunikan sate yang dihidangkan sebagai salah satu menu sarapan pagi. Orang lain sarapan nasi lemak, orang Muar sarapan sate. Kan unik tu?

19. Johor ada taman tugu ikonik diraja

Menyanjung kemuliaan Kesultanan Johor yang memayungi rakyat jelata, pelbagai replika mahkota Sultan Johor dibina di beberapa lokasi di negeri ini. Jangan tidak tahu, mahkota juga merupakan salah satu mercu tanda di negeri ini. Antara yang menjadi tumpuan pelancong adalah Laman Mahkota yang terletak berhadapan dengan Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Selain dapat bergambar dengan replika yang menjadi ikonik Johor itu, pengunjung juga boleh memanfaatkan kawasan taman untuk beriadah bersama keluarga.

20. Johor ada jambatan putus yang menjadi saksi pertempuran British & Jepun

Jambatan Putus Buloh Kasap yang terletak di Segamat ini pernah menjadi saksi peperangan antara tentera British dan Jepun pada ketika dahulu. Menurut sejarah, jambatan tersebut yang merentangi Sungai Muar itu dibina pada zaman penjajahan British. Namun ia terpaksa diletupkan bagi mengekang pergerakan tentera Jepun yang ketika itu mara ke arah selatan.

Meskipun musnah, namun ia telah dibaiki semula sebagai tinggalan sejarah, selain jambatan baharu turut dibina bersebelahan dengannya untuk kegunaan awam sehingga hari ini. Begitulah 20 keunikan negeri Johor yang harus kita ‘rasai’ ketika melancong selepas pandemik COVID-19 reda nanti.

Ada alam semulajadi yang tenang, ada taman laut yang cantik, ada tempat bersejarah, ada stadium bola sepak tercantik dan tercanggih, ada makanan tradisi menarik, boleh dikatakan segala-galanya ada di Johor. Rancang trip baik-baik. Pastikan kita bersedia sebab sudah lama keinginan melancong terpendam. Jadi, jangan pilih yang lain. Yok…Round Johor!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here