Polis Gagal Reman, Pengasas Rumah Bonda Dibebaskan!

378

Polis gagal mendapat perintah reman terhadap pengasas Rumah Bonda, Setapak di sini, hari ini untuk membantu siasatan kes penderaan seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, permohonan reman terhadap wanita berusia 29 tahun itu dibuat hari ini di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas ditahan semalam.

Menurutnya, wanita berkenaan ditahan pada 10.36 pagi di kediamannya di Wangsa Maju dan polis membuat permohonan reman hari ini namun mahkamah tidak meluluskan permohonan berkenaan dan kemudiannya membebaskannya.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kertas siasatan sudah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 13 Julai lalu dengan cadangan tuduh suspek wanita itu bersama tiga yang lain.

“Pada 14 Julai lalu, satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan 506 KK dan Seksyen 5(2) Akta pusat Asuhan 1953 (gagal memberi jagaan dan pengawasan yang mencukupi),” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan remaja yang mengalami sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali dengan nama Bella dipercayai didera di sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota.

Berikutan itu, rumah kebajikan itu sini turut disita melalui perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 5 Julai lalu. Selepas itu, Pelindung Unit Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengambil tindakan terhadap enam kanak-kanak dengan mengeluarkan mereka daripada rumah kebajikan itu.

Rumah kebajikan terbabit juga didapati beroperasi secara haram sejak 2019 dan tidak berdaftar dengan JKM. Kisah menyayat hati itu mendapat perhatian orang ramai yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib Bella dan mewujudkan tanda pagar #justiceforBella di media sosial. Remaja berkenaan kini ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah di Seremban, Negeri Sembilan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here