Kenapa Kucing Suka Bersendiri & ‘Menghilang’ Bila Merasakan ‘Waktunya’ Sudah Dekat?

    733

    Bagi setiap yang hidup pasti akan menemui ajalnya. Bagi kucing, ia juga boleh menunjukkan tanda-tanda yang ajalnya hampir tiba. Antara tanda yang sering ditunjukkan ialah cenderung untuk bersembunyi atau menghilangkan diri. Kenapa kucing lebih memilih untuk menghadapi hari-hari terakhir bersendirian?

    Adakah kita tidak menjaganya dengan baik? Jom kita ketahui mengapa kucing lebih suka menyendiri bila ajalnya hampir tiba. Kucing biasanya setia dengan tuan jika dilayan dengan penuh dengan kasih sayang. Walaupun anda rasa sedikit bersalah dan risau jika kucing memilih untuk bersembunyi atau lari dari rumah, ingatlah yang kucing tidak akan lari dari rumah kerana ingin menjauhkan diri dari anda.

    Terdapat banyak sebab mengapa kucing suka melarikan diri dari rumah. Selain merasa badan lemah atau sakit, kucing juga cenderung untuk keluar untuk memburu atau mencari pasangan. Seperti manusia, kucing juga akan menunjukkan perubahan pada personaliti dan kelakuan semakin ajal menghampiri. Jika sebelumnya kucing anda manja dan aktif, ia mungkin menunjukkan kelakuan berbeza seperti lebih agresif atau kurang aktif berbanding dahulu.

    Kemungkinan besar, kucing anda tidak suka disentuh ketika itu kerana badannya sedang sakit dan tak mahu diganggu. Ini tidak bermakna kucing anda tidak sayangkan anda lagi. Sesetengah kucing juga boleh menunjukkan kelakuan berbeza. Contohnya, berkelakuan lebih manja daripada biasa, lebih suka dibelai dan mahukan perhatian.

    Kucing seakan tahu bila waktu hidupnya hampir tamat. Memetik dari artikel Cat World – A Feline Encyclopedia, kucing biasanya akan keluar mencari tempat yang teduh dan tersembunyi bila berasa sakit atau terdedah daripada ancaman. Ia biasanya memilih untuk bersembunyi sebagai cara untuk melindungi diri daripada pemangsa atau ancaman yang tidak diingini.

    Jika kucing anda hilang, anda boleh cuba cari di kawasan tertutup seperti bawah stor rumah, bawah kereta, atau di celah tanaman atau semak berdekatan rumah. Apabila kucing sedang sakit, ia memerlukan persekitaran yang senyap dan jauh dari bahaya. Biasanya ia akan pergi dari rumah jika persekitarannya terlalu bising atau menakutkan. Selain persekitaran yang bising, ancaman lain yang kucing sering elakkan ialah anjing yang berkeliaran berdekatan rumah, kucing lain yang lebih agresif.

    Jika anda dapati kucing kerap menghilangkan diri, anda boleh semak semula persekitaran rumah. Antara perkara yang anda boleh lakukan untuk baiki persekitaran kucing ialah tukarkan kedudukan sangkar atau tempat kucing ke tempat yang lebih tenang dan teduh. Anda juga boleh pasangkan pagar bagi mengelakkan kucing atau haiwan lain masuk ke kawasan rumah.

    Selain suka bersembunyi, kucing yang hampir menemui ajal juga cenderung menunjukkan kelakuan yang berbeza seperti tak selera makan, tidak aktif seperti biasa atau suka menyendiri. Bergantung kepada usia dan tahap kesihatan kucing, doktor haiwan tidak dapat memberikan rawatan jika waktu kematian kucing hampir tiba.

    Oleh itu, adalah tanggungjawab tuan kucing untuk menyediakan persekitaran yang baik untuk hari-hari terakhir kucing anda. Pastikan anda sediakan sangkar atau tempat kucing yang selesa dan bersih. Bagi mengelakkan kucing untuk keluar dari rumah, anda juga boleh letakkannya di dalam bilik yang senyap dengan bekas pasir, makanan dan air yang mencukupi. Pastikan pintu dan tingkap rumah sentiasa bertutup untuk elakkan kucing keluar.

    Kredit Foto : tractive.com

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here