Rupa2nya Siti Sarah Sedekah Senyap2, Bantu Bekas Wartawan Hilang Kerja! Bila Tengok Jumlah Buat Wartawan Tu Terdiam Dan Tak Terkata…

    2256

    Pemergian Siti Sarah Raisuddin membuka 1,001 kisah mengenai kebaikan Allahyarham yang selama ini mungkin tidak diketahui ramai. Siti Sarah sebenarnya suka bersedekah dan membantu mereka yang memerlukan. Ini terbukti selepas Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada Isnin, satu persatu kebaikan beliau dikongsi ramai.

    Malah, amalan baik dilakukannya itu umpama tangan kanan memberi, tangan kiri tidak mengetahui. Beliau enggan perbuatan itu diketahui oleh orang yang dibantunya. Itulah antara sikap baik Siti Sarah yang benar-benar membuatkan mereka yang pernah rapat dengannya rasa terharu.

    Hal tersebut turut dialami oleh dua bekas wartawan, Utusan Karya Sdn. Bhd yang dihimpit kesusahan selepas syarikat mereka, Utusan Melayu (M) Berhad gulung tikar pada 2019 dan pampasan penuh yang dijanjikan tidak dibayar sehingga hari ini.

    Rosli Manah, 53, bekas Pengarang URTV menceritakan dia terkejut apabila pada tahun lalu, mendapat panggilan telefon daripada syarikat artis itu bernaung, Indigital Music menyatakan seorang artis mahu menghulurkan bantuan.

    Menurut Rosli, dia tertanya-tanya siapakah artis itu kerana pihak pengurusan syarikat berkenaan enggan mendedahkan individu yang ingin menghulurkan bantuan kewangan tersebut.

    “Saya tanya Nana (pihak pengurusan Indigital) siapa yang bantu? Nana kata, tak perlu tahu kerana artis berkenaan ikhlas menolong. Jumlah yang dibantunya itu, bagi saya agak banyak kerana ketika itu saya benar-benar dalam kesusahan kerana tiada pekerjaan,” ujar Rosli.

    Tambah Rosli lagi, rahsia itu terbongkar selepas Nana tidak sengaja menulis nama Sarah sebagai rujukan resit bank ketika pemindahan wang dilakukan.

    “Kemudian saya hubungi Nana dan bertanya mengenai nota kecil itu dan Nana mengaku dia tidak sengaja tertulis catatan berkenaan dan seterusnya mengaku, wang tersebut pemberian Siti Sarah dan mohon dirahsiakan.

    “Arwah sangat pemurah… masa itu saya dah tak bekerja di Utusan. Saya dah tiada duit untuk bayar tunggakan kereta dan saya ada muat naik status itu di Facebook.

    “Tak sangka Nana kemudian tanya nombor akaun saya, masa tu saya tak tahu fasal apa. Lepas itu saya tengok ada duit ribuan ringgit yang dimasukkan ke dalam akaun saya,” katanya ketika dihubungi mStar.

    Tambah Rosli, sehingga kini dia tidak berpeluang berterima kasih kepada Siti Sarah kerana terpaksa berpura-pura tidak mengetahui tentang sumbangan tersebut. Ditanya sejauh manakah rapatnya hubungan dia dengan Siti Sarah, ujar Rosli, pada awal kemunculan penyanyi itu, dia banyak memberi liputan terhadap Siti Sarah melalui majalah URTV pada usia belasan tahunnya.

    Malah, Rosli juga berkawan baik dengan Pegawai Perhubungan Awam Siti Sarah ketika itu, Allahyarham Ruslan Agil dan mereka kerap keluar, makan bersama-sama yang turut disertai Siti Sarah.

    “Saya dimaklumkan, bantuan yang diberikan Siti Sarah itu kerana dia terhutang budi saya pernah membantunya saat susahnya dia untuk menapak dalam dunia seni. Dia tak lupa jasa saya itu. Saya sangat-sangat terharu akan budi baiknya. Tak semua artis menghargai wartawan yang banyak membantu mereka saat dilanda kesusahan. Terima kasih Sarah… Allah saja yang membalas budi baik Sarah,” kata Rosli sebak.

    Selain Rosli, Siti Sarah juga ada membuat sumbangan kepada seorang lagi bekas Pengarang Kanan, Utusan Karya Sdn. Bhd. iaitu Joha Ahmad, 55, yang kini menderita penyakit buah pinggang. Menurut Joha, dia terkejut apabila menerima sumbangan daripada arwah kira-kira dua bulan lalu biarpun mereka sudah lama tidak berhubung.

    “Saya terima sumbangan wang tunai daripada arwah Sarah dua bulan lepas… saya memang sangat terkejut sebab kami memang dah lama tidak berhubung. Saya cakap pada dia terima kasih sebab masih ingat saya… hubungan saya dengan arwah bukan macam wartawan dengan penyanyi, sebaliknya dah macam abang dengan adik.

    “Arwah memang tahu saya sakit dan dia juga sempat berpesan pada saya agar selalu jaga diri,” katanya yang menyifatkan Allahyarham seorang yang merendah diri serta sentiasa mengingati wartawan-wartawan hiburan yang telah menaikkan namanya di persada seni.
    Siti Sarah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Pusu, Gombak pada petang, Isnin. Ujar Joha, hubungan baiknya bukan sahaja terhadap Siti Sarah malah termasuklah dengan ahli keluarga penyanyi itu.

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here