Allahuakbar! Kronologi Adik Damia Yang Hilang Diculik 6 Jam Ketika Bermain!

    703

    Hari ini tular sebuah berita di mana sepasang suami isteri trauma selepas anak sulung mereka yang berusia tujuh tahun hilang dipercayai diculik di hadapan kediaman mereka di Taman Teratai. Dalam kejadian tersebut, mangsa, Nur Damia Qaleesya kemudiannya ditemui selamat di belakang barisan rumah kedai kira-kira 1.5 kilometer dari rumahnya, kira-kira enam jam selepas dia dilaporkan hilang.

    Menurut laporan Harian Metro, Mohd Khairul Nizam Shafii, 34, berkata, setiap petang anak sulungnya itu akan keluar bermain bersama rakan baiknya yang juga anak jiran mereka di hadapan rumah. Katanya, sebelum kejadian anaknya itu sempat memaklumkan mahu bermain di rumah rakan baiknya yang terletak hanya 200 meter dari rumah mereka jam 4.30 petang semalam.

    Difahamkan anak kedua pasangan suami isteri terbabit, Nur Rania Qaisarah, 5, pulang sambil menangis kira-kira jam 5.00 petang dan memaklumkan kakaknya menaiki kereta dipandu seorang lelaki tidak dikenali. Saya dan isteri, Nur Aida R Mohd Tahir, 34, panik sebelum bergegas mencari anak sulung di sekitar kawasan perumahan dan bertanya jiran, namun Damia gagal dikesan dan ditemui.

    “Saya dan isteri terus bergegas ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri bagi membuat laporan. Selepas enam jam saya membuat laporan, polis menghubungi saya memaklumkan anak sulung saya ditemui penduduk dan dihantar ke taman permainan berdekatan rumah saya, kira-kira jam 10.30 malam,” katanya ketika ditemui.

    Terdahulu kes kehilangan Nur Damia yang dipercayai diculik tular di media sosial sejak tengah malam tadi. Ketua Polis Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan menerima laporan mengenai kes penculikan kanak-kanak itu. Dalam pada itu, Mohd Khairul Nizam berkata, beliau amat bersyukur kerana anak sulungnya ditemui dalam keadaan selamat selepas mereka sekeluarga berada dalam keadaan trauma selama enam jam berikutan kehilangan Nur Damia.

    “Sebaik polis memaklumkan anak sulung sudah ditemui, saya dan isteri bergegas ke taman permainan terbabit untuk bertemu Damia. Saya dan isteri menangis sebelum memeluk erat Damia. Tuhan saja tahu perasaan saya dan isteri ketika itu. Tiada kata-kata lain selain ucapan syukur kerana Damia selamat walaupun dia dilihat memakai pakaian berbeza berbanding ketika keluar petang semalam.

    “Keadaan di taman permainan ketika itu ada beberapa orang penduduk dan polis, mereka turut membaca doa selamat. Selepas itu saya dan Damia di bawa ke Balai Polis Iskandar Puteri untuk diambil keterangan dan kami dibenarkan pulang selepas itu menjelang tengah malam tadi,” katanya.

    Sementara itu, Aliffi Abd Rahim, 28, individu yang menemui Nur Damia di belakang kedai makan di Taman Teratai, tidak menyangka gerak hatinya untuk makan di sebuah restoran yang baru dibuka di kawasan taman perumahan akhirnya dapat menyelamatkan kanak-kanak perempuan terbabit. Katanya, sebelum pergi ke restoran terbabit bersama abangnya, Affandi 33, dia ada terbaca tular di media sosial mengenai kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dilaporkan diculik di Taman Teratai.

    “Sewaktu saya lalu di laluan menuju ke restoran itu, keadaan agak sunyi namun tiba-tiba nampak kelibat seorang kanak-kanak perempuan di sebalik tembok di belakang deretan kedai di situ. Saya turun dari kereta dan melihat lebih dekat wajah kanak-kanak perempuan itu. Kelihatannya sama seperti gambar wajah kanak-kanak yang dilaporkan culik yang kisahnya tular di media sosial, yang juga jiran kami.

    “Kanak-kanak perempuan itu dalam keadaan bingung sebelum beritahu nama dia Damia. Saya kemudian cuba pujuk dengan beritahu akan bawa pulang bertemu ibu bapanya apabila dia berkata sedang menunggu seorang pakcik membelikannya aiskrim. Namun, dia akhirnya ikut saya dan abang untuk dihantar pulang ke rumah,” katanya.

    Aliffi berkata, beliau menyerahkan Nur Damia kepada anggota polis yang membuat kawalan di sekitar kediaman ibu bapa kanak-kanak berkenaan sebelum keterangannya turut diambil bagi membantu siasatan. Saya harap kejadian seumpama ini menjadi pengajaran dan tidak berulang,” katanya.

    Sumber: Harian Metro

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here