Wanita & Anak Sanggup Jalan kaki Lapan Jam Redah Hujan & Banjir, Untuk Pulang Ke Rumah!

    210

    Seorang ibu bersama anak perempuannya sanggup berjalan kaki kira-kira lapan jam dari sebuah stesen minyak di Shah Alam ke rumah mereka di Bandar Putera Klang disebabkan kenderaan dinaiki rosak, kerana cuba meredah banjir untuk pulang ke rumah.

    Menurut Hayati Halim, 44, yang juga seorang jururawat, dia dan anak perempuannya pulang dari kampung di Bagan Serai, Perak, selepas jirannya memaklumkan rumah dinaiki air hingga ke paras dada.

    “Saya hendak tengok dahulu apa keadaan di rumah dan sedang menunggu bot untuk memasuki kawasan rumah kerana paras air tinggi, nak tengok apa yang boleh saya selamatkan,” katanya yang ditemui di Jalan Kebun, Klang di sini.

    Dia yang tinggal di Taman Kamelia, Bandar Putera Klang, ditemani anak perempuan berumur 16 tahun, manakala suami dan seorang lagi anak menguruskan kereta mereka. Hayati ditemui di tepi jalan hampir jam 1 pagi tadi oleh kumpulan pengamal media yang sedang dalam perjalanan pulang selepas membuat liputan dan tinjauan keadaan banjir di kawasan sekitar.

    Turut kelihatan di lokasi berkenaan beberapa penduduk sekitar taman perumahan membantu menjaga laluan jalan yang dilimpahi air. Terdapat beberapa kenderaan berpatah balik terutamanya kenderaan ringan selain penunggang motosikal terpaksa menolak motosikal masing-masing. Begitu juga beberapa penghantar makanan yang ditemui di Jalan Teluk Menegun di sini memberitahu tersangkut selama beberapa jam di jalan raya yang dinaiki air.

    Tinjauan juga mendapati, banyak kenderaan penduduk diparkir sepanjang bahu jalan memandang kediaman masing-masing dinaiki air.

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here