Jika sebelum ini tular satu video pihak polis mengejar seorang lelaki yang melarikan diri dari sekatan jalan raya di Kampung Gaung, Pasir Mas, kali ini satu lagi video kejar-mengejar dirakam oleh pengguna media sosial.
Video tersebut telah dimuat naik satu akaun TikTok milik @sarawakedittion dan mendapat perhatian ramai.
Mana tidaknya, anggota polis trafik yang sedang mengejar seorang lelaki telah menumpang sebuah kereta Perodua Myvi bagi mempercepatkan langkah memberkas individu tersebut.
Lelaki yang dikejar juga dilihat masih memakai topi keledar dan terus berusaha melarikan diri memasuki semak di tepi jalan tersebut.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku di satu sekatan jalan raya di Jalan Kuching Samarahan Expressway semalam.
Anggota polis trafik itu bertindak bijak dengan menumpang Perodua Myvi yang melalui kawasan itu sehingga lelaki yang melarikan diri tersebut menyangka yang dia sudah ‘selamat’ dari diburu.
Susulan daripada perkongsian tersebut, rata-rata warganet telah meninggalkan komen yang pelbagai berhubung kejadian berkenaan.
Ada diantara mereka yang sempat berseloroh dengan situasi tersebut kerana aksi kejar-mengejar sama seperti yang berlaku di Kelantan tempoh hari.
Sumber: TikTok @sarawakedition