Misteri Acap Yang Masih Belum Terungkaikan, Genap 3 Tahun Kehilangan Acap!

    283

    Kelmarin, genap 3 tahun kehilangan peserta Gopeng Ultra Trail 2019 iaitu saudara Mohammad Ashraf Hassan atau lebih dikenali dengan panggilan Acap. Setiap kali tiba tarikh 23 Mac, timbul sekelumit perasaan ingin tahu dalam kalangan netizen yang mengikuti detik peristiwa ini tentang apa sebenarnya yang terjadi dan di manakah keberadaan Acap.

    Rasa macam baru lagi, pejam celik dah 3 tahun. Semoga terjawab misteri kehilangan Acap satu hari nanti. Masih segar di ingatan, kisah seorang pemuda bernama Mohammad Ashraf atau mesra disapa Acap yang dilaporkan hilang secara tiba-tiba pada 23 Mac 2019 yang lalu. Kisah ini sempat menggemparkan seluruh rakyat Malaysia apabila dia dikatakan hilang ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail (GUT) di Gua Tempurung, Perak. Menurut laporan, Acap yang memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25km disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas dalam pertandingan itu.

    Acap yang berumur 29 tahun dan berasal dari Muar, Johor itu mempunyai sebuah keluarga kecil, iaitu seorang isteri dan seorang anak perempuan yang sentiasa menanti kepulangannya. Menurut laporan media, Acap sememangnya menggemari aktiviti-aktiviti lasak dan sudah menawan beberapa buah gunung yang terdapat di Malaysia. Dia yang juga bekerja sebagai juruteknologi makmal sentiasa selamat dan tidak pernah hilang sepanjang aktiviti lasak sebelum ini. Namun begitu, nasib tidak menyebelahinya pada hari larian tersebut apabila dia disahkan hilang.

    Kehilangan Acap benar-benar misteri. Dengan umurnya yang sudah cukup dewasa, sangat menghairankan semua untuk hilang tanpa jejak. Dia bukanlah anak kecil atau orang kurang upaya (OKU) yang tidak tahu jalan keluar atau cara untuk meminta bantuan. Fizikal dan akalnya yang terlihat sempurna sudah cukup untuk membantunya keluar daripada hutan sekiranya tersesat, atau paling tidak, meninggalkan tanda kepada orang awam dan pihak berkuasa untuk mengesannya seperti tapak kaki, carikan baju, torehan di pokok dan bermacam lagi.

    Tetapi kenyataan berkata lain. Sudah dua tahun Acap hilang “secara ghaib” sehinggalah hari ini. Segalanya bermula apabila dia menyertai sebuah kem larian Gopeng Ultra Trail (GUT) di Gua Tempurung, Perak. Walaupun rata-rata sudah mengetahui kronologi peristiwa kehilangan Acap, tetapi ia tetap menjadi topik hangat untuk dibincangkan kembali. Memetik laporan daripada Sinar Harian kes kehilangan Acap selama sebulan adalah seperti berikut;

    Sekitar jam 2 petang. mangsa dikesan tidak bersama rakan lain di garisan penamat satu program larian. Selepas usaha menghubunginya gagal, pihak penganjur melakukan carian di kawasan laluan peserta tetapi tidak menemui mangsa. Pada jam 1.09 pagi, rakan mangsa membuat satu laporan polis di Balai Polis Gopeng. 24 Mac 2019. Hari pertama Operasi Menyelamat ( Op SAR) digerakkan dengan membuka Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kampung Pintu Padang, Gopeng.

    Petunjuk pertama iaitu botol air minuman mangsa ditemui di lokasi terakhir mangsa dilihat iaitu di sekitar check point 6. Operasi mencari kemudian dipergiat dengan penyertaan 130 anggota pelbagai jabatan dan negeri. Pasukan mencari dan menyelamat belum menemui sebarang petunjuk baharu, namun skop pencarian diperluas luar dari petunjuk sebelum ini hingga 10km termasuklah di kawasan puncak Bukit Batu Putih pada ketinggian 90 meter yang sukar dilalui guna jalan biasa.

    27 Mac 2019. Op SAR yang sepatutnya ditamatkan disambung sehingga Sabtu selepas mendapat arahan daripada Pejabat Menteri Besar Perak. 30 Mac 2019. Polis menamatkan Op SAR selepas tujuh hari operasi digerakkan, namun usaha pencarian tetap diteruskan dalam skala yang kecil. 5 April 2019. Semua masjid di Perak mengadakan solat hajat sejurus selesai solat Jumaat bagi mendoakan mangsa ditemui selamat
    6 April 2019

    Operasi mencari Muhammad Ashraf masih diteruskan dalam skala kecil dan sehingga kini belum ada sebarang petunjuk baharu yang boleh membawa kepada penemuan mangsa.
    Sehingga tahun 2021, Acap masih belum ditemui, namun misi pencarian daripada pihak berkuasa terpaksa ditamatkan. Kini, ahli keluarga hanya mampu berharap dan berdoa agar anak muda itu segera ditemui dalam keadaan selamat. Benarkah Acap Sudah Ke Alam Ghaib? Pelbagai spekulasi cuba dilontarkan oleh masyarakat dalam merungkai misteri kehilangan Acap. Bermula daripada alam nyata sehinggalah alam ghaib, tetapi sejauh mana kebenarannya masih belum dapat dipastikan. Spekulasi-spekulasi ini timbul mungkin disebabkan perbezaan kepercayaan, ilmu dan pengalaman.

    Tanpa membuang masa, mari kita telusuri satu per satu spekulasi-spekulasi yang pernah wujud dalam kes ini. Acap Telah Ditemui Tetapi Enggan Pulang? Tular sebuah rakaman audio di media sosial yang mengatakan bahawa Acap sebenarnya sudah ditemui dan diajak pulang ke dunia nyata. Akan tetapi, beliau tidak mahu kerana kemungkinan sudah bernikah dengan bunian atas dasar suka sama suka.

    “Kalau cerita betul Pak Din kena lapang dadalah. Tapi Wallhualam lah dikata. Rasanya ada dua orang..dua group yang akan bawa keluar dia nanti akan paksa dia keluar. Masalahnya suka sama suka Pak Din. Bukan buat benda terlarang ke tidak. Suka sama suka. Jadi dia tak nak keluar. Dia main tarik tali tau. Memang muncul depan kitorang sihat, sihat walafiat lagi si Acap ini. Memang dah ikhtiar.

    Memang dah bukak (pintu alam bunian) dengan izin Allah. Tapi yang jadi masalah sekarang ni acap tak nak balik. Mak dia sendiri bagitahu mak dia pernah mimpi Acap tak nak balik, 3 hari lepas. Kalau nak berunding dengan jin tu tak boleh sebab dia nak pengganti Acap. Tak tahu, kemungkinan dia ni dah bernikah. Dia dah berkahwin dengan jin. Mak dia kata paksa dia keluar. Kita rentap dia. Bukan tak boleh rentap. Memang betul-betul depan kita semua. Semua nampak ada jemaah yang ikut sekali. Nak bawak keluar macam mana Pak Din.

    Pintu kitorang semua dah bukak. Rumah kitorang dah jumpa. Dekat alam sana, dia nampak semua makanan sedap tapi alam sini sebenarnya dia makan siput. Yang dia makan tu siput. Kitorang siap jumpa kulit siput tu dekat tempat dia apa semua. Jin tu siap tunjuk ini makanan dia. Tapi dekat sana dia tak tahu yang dia makan tu siput. Dia tak tahu yang dia duduk tu celah-celah batu celah-celah kayu. Tapi bukan alam kitalah. Jangan Naik Ke Batu Putih, Ada Kenduri Bunian – Penduduk Kampung

    Terdapat juga versi lain mengenai kehilangan Acap ini. Salah seorang warga kampung di situ menyuarakan isi hati beliau seolah tidak menggemari kedatangan beratus-ratus orang pawang ke lokasi kejadian. Mereka dikatakan hanya ingin tunjuk pandai dan telah membelakangi orang kampung. Tambah beliau lagi, orang kampung sebenarnya sudah memesan jangan naik sampai ke Bukit Batu Putih kerana ada kenduri yang sedang berlangsung di situ.

    Tetapi, mereka degil termasuklah Acap. Terdapat tiga orang yang berurusan dengan pemegang kawasan itu (bunian) dan mereka rapat dengannya. Salah seorang daripada mereka gemar meminjam pinggan mangkuk manakala seorang lagi dikatakan memang bersahabat dengan bunian. Acap sebenarnya selamat tetapi disebabkan ramai orang datang untuk menunjuk kehebatan setelah mendengar tawaran sebanyak RM70 ribu sekiranya berjaya menemui Asyraf maka dia tidak berjaya dikeluarkan.

    Bantuan daripada pelbagai arah telah dilakukan bagi menemui anak muda itu. Segala usaha telah dikerah, setiap pelusuk hutan juga telah diredah untuk mencari keberadaannya. Bermula dengan pihak berkuasa seperti polis dan bomba sehinggalah melibatkan penduduk kampung dan pengamal perubatan. Usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

    Sudah menjadi sebahagian daripada prosedur apabila berlaku kes orang hilang, pihak berkuasa seperti bomba pasti akan turun padang untuk melakukan pencarian. Lebih-lebih lagi jika melibatkan kawasan-kawasan yang berisiko seperti hutan, gunung, bukit dan laut. Bomba dan Penyelamat antara pihak berkuasa yang tidak putus-putus menabur usaha untuk mencari petunjuk dan keberadaan Acap. Bermula dari hari pertama kes ini berlaku sehinggalah suatu jangka masa yang tertentu. Prosedur pencarian pada hari pertama bermula seperti biasa dan semakin hari semakin giat dilakukan dengan menggunakan berbagai teknologi.

    Misi Pencarian Hari Ke-3. Menurut kenyataan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Yunus Abu dalam akhbar berita Sinar Harian, pasukan mencari dan menyelamat belum menemui sebarang petunjuk baharu dalam usaha mencari seorang peserta larian Gopeng Ultra Trail yang hilang, sejak Sabtu lalu. Skop pencarian pada hari ketiga operasi, hari ini telah diperluaskan, luar dari kawasan petunjuk sebelum ini.

    Menurut beliau, pencarian dimulakan di tempat mangsa bermula hinggalah lokasi terakhir pertandingan tersebut tamat. Beliau optimis bahawa mungkin dengan cara ini pihaknya akan menemui petanda lain selain botol air milik mangsa. Pasukan bomba kelihatan sangat komited dalam misi pencarian Acap sehinggakan mereka menggunakan tali untuk memantau kawasan bukit kerana keadaannya yang lereng berbatu dan curam. Dua kumpulan telah ditugaskan untuk menjalankan kaedah tersebut. Operasi mencari kemudiannya digerakkan bermula di check point 6, lokasi terakhir mangsa dilihat iaitu kira-kira 12km dari garis mula.

    Misi Pencarian Hari Ke-5. Memetik kenyataan Yunus Abu dalam temu bual bersama Astro Awani, masih belum ada petunjuk baharu selepas lima hari Mohammad Ashraf Hassan dilaporkan hilang, namun operasi tetap diteruskan. Operasi hari kelima difokuskan terhadap semua laluan pelari bemula check point 10 hingga ke garisan penamat. Tambah beliau, pencarian turut melibatkan pegawai bomba dan pasukan bomba sukarela. Selain itu, pihaknya juga masih mnggunakan khidmat Unit K9 (anjing pengesan) bomba sebanyak lima ekor.

    Misi Pencarian Diteruskan Selepas Setahun Kes Hilang. Menurut portal Astro Awani, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih meneruskan usaha mencari Mohamad Ashraf Hassan, 29, atau lebih dikenali sebagai Acap walaupun sudah setahun kes ini berlaku. Ia dilakukan melalui pelbagai cara termasuk yang terbaharu, latihan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dari 19 hingga 23 September 2019.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, seramai 150 anggota bomba dan Pasukan Gerakan Am (PGA), melakukan latihan jalan lasak di laluan yang pernah dilalui mangsa sepanjang 25 kilometer yang mereka namakan Acap Trail.

    Penduduk kampung turut menabur bakti dalam usaha mencari keberadaan Acap. Dengan berbekalkan ilmu agama, mereka mengadakan majlis bacaan Yassin dan solat hajat. Menurut laporan Sinar Harian, semua masjid di Perak telah mengadakan solat hajat pada 5 April 2019 sebagai salah satu ikhtiar dengan memohon kepada Allah SWT untuk memudahkan pihak penyelamat mencari mangsa. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, perkara ini diputuskan selepas pertemuan diadakan dengan JBPM.

    Tambah beliau, solat hajat dilaksanakan selepas menunaikan solat Jumaat. Pada asalnya, pihak JBPM meminta masjid di daerah Kampar sahaja untuk mengadakan solat hajat itu tetapi beliau berfikir semua masjid di Perak boleh turut serta untuk mendoakan kemudahan misi pencarian. Terdapat hampir 1000 jemaah yang menyertai solat sunat hajat di Majis Sultan Idris Shah 2 (Masjid Negeri) tersebut. Solat sunat hajat yang dilaksanakan sejurus selepas solat Jumaat itu diimamkan oleh Imam Masjid Negeri, Muhammad Ali Mohamad Noh.

    Bukan hanya Muhammad Ashraf yang dilaporkan hilang secara tiba-tiba. Terdapat juga kes lain yang pernah menjadi bualan masyarakat dan mengejutkan ramai sebelum ini. Ada antara mereka yang hilang, berjaya ditemui dengan selamat. Ada pula yang terus “lesap” sehingga ke hari ini. Sudah memasuki tahun 2021, namun tidak banyak perkembangan terkini mengenai kes kehilangan Acap ini. Hanya melalui kiriman abangnya di Facebook pada 3 Mac lalu yang memberitahu tempoh masa adiknya menghilang. Semoga ada rezeki untuk bertemu.

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here