Natasha Hudson Kahwin Kali Kelima

    256

    Dalam diam, pelakon Natasha Hudson kembali bergelar isteri apabila selamat diijabkabulkan dengan jejaka pilihan hati dikenali sebagai Jay Jasmin.

    Memetik mStar Online, Natasha selamat disatukan dengan suaminya di Masjid Al Umm, Bandar Baru Bangi, semalam. Meluahkan rasa syukur hubungan mereka sampai ke jenjang pelamin, pelakon berusia 39 tahun itu berkata dia memilih Jay kerana banyak persamaan antara mereka.

    “Saya dah lalui beberapa pengalaman hidup yang mengajar betapa pentingnya untuk mengenali diri sendiri dan pasangan dalam membina hidup bersama.

    “Jay seorang yang sangat menakjubkan sejak hati pertama saya jumpa dia. Dia sangat memahami dan kami berkongsi banyak persamaan. Saya rasa sangat bahagia dengan penerimaan keluaraganya.

    “Dalam hidup ini tak ada sesiapa yang nak lalui apa yang saya dah lalui. Saya yakin dia adalah yang terbaik untuk saya. Seseorang yang hadir dalam hidup dan saya berdoa kepada Allah agar kami kuat untuk bersama sampai bila-bila,” katanya.

    Difahamkan, Natasha berkawan rapat dengan Jay yang berusia lebih muda sejak setahun lalu ketika menyertai aktiviti luncur ombak di Langkawi, Kedah.

    Dalam pada itu, Natasha turut memohon orang ramai mendoakan yang terbaik untuk perkahwinannya serta perhubungan mereka diberkati Allah.

    “Untuk kali ini saya minta semua orang mendoakan kesejahteraan rumah tangga dan kebahagiaan hati kami berdua dalam melayari bahtera kehidupan ini bersama. Doakanlah Allah bantu bimbing dan memberkati perjalanan perhubungan kami ini,” katanya.

    Terdahulu, Natasha bercerai dengan suami keempatnya, Noor Nashriq pada Oktober 2019 selepas setahun berkahwin.

    Pada 2018, Nastasha bercerai dengan bekas suaminya, Carleed Khaza selepas berkahwin pada April 2012. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan.

    Sebelum itu, Natasha pernah berkahwin dengan Mohd Faiz pada 2006 namun rumah tangga hanya bertahan selama empat bulan.

    Kemudian, Natasha berkahwin dengan Datuk Shahrin Zahari pada Julai 2007 namun hanya bertahan dua tahun sahaja. Mereka dukurniakan seorang cahaya mata perempuan.

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here