Awal Ashaari Mengaku Tidak Salah Rosakkan Palang Pagar, Tapi Lain Yang Jadi Perhatian!

    508

    Pelakon dan pengacara popular, Awal Ashaari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara, bulan lalu.

    Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

    Mengikut pertuduhan, selebriti itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan Challis Damansara dengan kerugian sebanyak RM600 di pondok pengawal perumahan itu sini di Jalan PJU 3/30 pukul 11.30 pagi pada 16 April lalu.

    Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husain menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

    Bagaimanapun, peguam Datuk M. Reza Hassan memohon jumlah ikat jamin RM3,000 dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga selain pendapatannya sebagai pengacara tidak konsisten.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Zhafran membenarkan Awal diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

    Tarikh 15 Julai ini ditetapkan untuk sebutan kes. – UTUSAN

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here