Ibu hamil kecewa dengan sikap pengguna LRT

    176

    Umum sedia maklum antara golongan yang harus diberi perhatian dan disantuni ketika menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan tren adalah warga emas, ibu hamil, kanak-kanak dan orang kelainan upaya (OKU).

    Malah, di setiap pengangkutan tersebut turut menyediakan ruangan atau zon untuk mereka duduki, namun tidak semua mengambil peduli walaupun sudah tertulis.

    Sikap ketidakpedulian itu membuatkan golongan ini terpaksa mengalah dan berdiri sambil berpaut pada tiang sehingga sampai ke destinasi seperti yang dialami oleh seorang ibu hamil.

    Menerusi video tular di laman TikTok yang dikongsikan oleh @ohroseeeee, dilihat seorang wanita hamil sedang menaiki tren pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT).

    Pun begitu, dia meluahkan kekecewaan apabila melihat sikap yang ditunjukkan oleh pengguna dalam LRT tersebut kerana mengabaikan golongan ibu hamil sepertinya.

    Menurut pengguna yang dikenali sebagai Rose, dia sudah penat apabila setiap hari terpaksa meminta tempat duduk daripada penumpang lain yang menduduki di zon keutamaan yang ditetapkan dalam LRT tersebut.

    Apa yang mengecewakannya lagi adalah dia sudah melekatkan tag mengandung pada beg miliknya supaya ramai ambil maklum akan situasinya yang sedang sarat.

    “Apabila duduk di zon keutamaan, kenalah peka dengan keadaan sekeliling dan jangan buat tak peduli sangat.

    “Tahu tak penat setiap hari nak minta tempat duduk walaupun pakai tag hamil dan perut besar pun mereka masih buat tak nampak. Orang tua lagilah kesian,”luahnya di ruangan kapsyen.

    Pada masa yang sama, Rose amat berharap agar semua penumpang peka dengan memberikan keutamaan tempat duduk kepada mereka yang memerlukan seperti yang tertera pada pelekat di dalam LRT.

    Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi dapat dilihat dan ramai warganet meluahkan kekesalan kerana menghadapi situasi yang sama.

    Selain itu, mereka juga mengkritik tindakan segelintir pengguna yang mementingkan pentingkan diri sendiri.

    Sumber: TikTok @ohroseeeee

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here