Anwar berterima kasih, Presiden Indonesia, Jokowi Ketua Negara pertama ucap tahniah!

    75

    Perdana Menteri Malaysia ke-10 yang baharu sahaja dilantik, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan terima kasih kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo kerana menjadi ketua negara pertama menghubunginya bagi mengucapkan tahniah.

    Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), menyatakan ia merupakan satu penghargaan dan memberi makna yang cukup besar dan bermakna buat dirinya.

    “Terima kasih Presiden Indonesia, Bapak Joko Widodo kerana menjadi kepala negara pertama yang menghubungi saya mengucapkan tahniah,”ujarnya menerusi hantaran di laman Facebook.

    Sementara itu, Anwar turut memberitahu Malaysia dan Indonesia merupakan sahabat sejati dan mengharapkan kedua-dua negara ini meningkatkan jalinan perdagangan bersama.

    “Saya tegaskan Indonesia merupakan sahabat sejati Malaysia dan saya mengharapkan hubungan dagang dan bisnes, investasi, budaya dan isu pekerja dapat dipertingkatkan. Persahabatan kedua-dua semestinya diperkukuh,” katanya lagi.

    Terdahulu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara pada jam 5 petang Khamis.

    Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Pelantikan tersebut berikutan perkenan Seri Paduka Baginda selepas mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada sebelah pagi hari yang sama.

    Sekadar info, Anwar dipercayai akan menerajui kerajaan Persekutuan baharu menggabungkan antara tiga parti iaitu PH, Barisan Nasional (BN) dan GPS.

    Sumber: Facebook Anwar Ibrahim

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here