“Negara Ini Umpama Harta Pusaaka, Para Pemimpin Adalah Pemegang Amanahnya” – Agong

    100

    Penantian rakyat Malaysia akhirnya berakhir selepas Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 sebentar tadi.

    Dalam kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara, satu sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu telah berlangsung di Istana Negara bermula jam 11 pagi tadi.

    Hasil perbincangan khas tersebut, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billa Shah telah berkenan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    Proses seterusnya adalah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada jam 5 petang hari ini.

    Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda mengingatkan semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua. Demi masa depan negara tercinta, semua ahli-ahli Dewan Rakyat harus hulurkan tangan antara satu sama lain bagi merapatkan semula saf.

    Baginda turut menegaskan negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya. Harta pusaka harus dijaga dengan baik kerana ianya akan diwarisi generasi muda.

    Baginda berpesan kepada PM10 dan kerajaan baharu supaya mengikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

    Ahli Dewan Rakyat yang dipilih diingatkan juga supaya menunjukkan solidariti dengan mengutamakan komitmen dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

    Manakala rakyat diseru agar terus istiqamah, bertenang dan mendoakan semoga negara sentiasa diberkati di bawah lindungan Allah SWT.

    Kredit: Istana Negara

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here