Siti Bainun Menangis ‘Ditinggal’ 10 Peguam, Semua Pilih Tarik Diri!

    75

    Berita tentang penarikan diri peguam yang membela pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali telah menjadi perbualan ramai sejak semalam.

    Hal tersebut telah dikongsikan oleh aktivis, Mona Din dengan menyatakan yang peguam-peguam pro bono yang mewakili Siti Bainun telah menarik diri semalam.

    Memetik laporan dari Sinar Harian, dua orang lagi peguam iaitu Asiah Jalil dan Nurul Nurul Hafidzah juga menarik diri di saat akhir semasa prosiding bela diri kes mengabai dan menganiaya kanak-kanak perempuan dikenali Bella hari ini.

    Perkara tersebut dimaklumkan Hakim Izralizam Sanusi apabila mahkamah menerima notis penarikan diri dua orang peguam tersebut pada jam 9 malam semalam. Susulan daripada itu, Siti Bainun, 31 telah menangis di kandang saksi, di Mahkamah Sesyen.

    Dengan penarikan diri dua orang peguam tersebut menjadikan ke semua peguam dari lima firma tidak lagi mewakili wanita itu dalam prosiding bela dirinya.

    Hakim Izralizam juga ada bertanya kepada Siti Bainun sama ada dia tahu ataupun tidak tentang perkara tersebut.

    Izralizam: Kamu tahu tak, mereka mahu tarik diri?
    Siti Bainun: Puan Asiah ada beritahu Sabtu lalu, boleh nak tarik diri sebab ada pertindihan jadual, tapi beliau tak ada cakap, betul-betul nak tarik diri, tak apalah Yang Arif, saya akan cuba bincang semula.

    Izralizam: Saya juga ada terima notis penarikan diri peguam, difailkan jam 9 malam tadi, sekiranya ada pertindihan tarikh, peguam perlu buat permohonan berserta alasan, untuk saya pertimbangkan.

    Dalam pada itu, hakim turut menasihati wanita tersebut untuk membuat aduan kepada Majlis Peguam jika rasa teraniaya dengan tindakan peguam-peguamnya.

    “Mahkamah tak salahkan atau marahkan kamu, tetapi kalau kamu sendiri tidak beri arahan, macam mana mereka nak bersedia?,” kata hakim itu.

    Ditanya sama ada tahu ataupun tidak perihal penarikan diri peguam-peguamnya itu, Siti Bainun mengatakan tidak tahu dan tidak faham tentang susunan jadual para peguam.

    Siti Bainun: Saya tak tahu susunan jadual itu macam mana?
    Izralizam: Kamu bagi tak mereka tarik diri?
    Siti Bainun: Mestilah tidak.

    Oleh itu, hakim sekali lagi menyarankan kepada pengasas Rumah Bonda itu untuk melantik seorang sahaja peguam yang lebih bertanggungjawab bagi mengendalikan kesnya.

    “Seorang sahaja sudah memadai untuk mengendalikan kes, kalau banyak firma tapi berlaku macam ini, ia tidak memberi manfaat kepada kamu juga,” katanya.

    Mahkamah kemudian menetapkan 26 dan 27 Januari ini bagi sambung perbicaraan bela diri manakala prosiding yang dijadualkan berlangsung hingga Jumaat ini dilapangkan.

    Tertuduh juga dikehendaki untuk memaklumkan mengenai status lantikan peguam baharu pada tarikh berkenaan.

    Sumber: Sinar Harian (Nor Azlida Alimin)

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here